Sukan Hari Ini

Peluang terbaik Johor DT

Akhirnya, kita tiba di topik paling penting bagi bola sepak Malaysia. Topik pentas bola sepak kelab di Asia. Adalah teramat penting sekiranya kelab atau pasukan bola sepak dari Malaysia bertanding di pentas Asia walaupun Liga Juara-Juara Asia (ACL) atau Piala AFC. Kedua-duanya banyak memberi manfaat kepada mutu serta tahap bola sepak di Malaysia.

Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kini berada di ambang ACL. Satu lagi perlawanan kelayakan maka bola sepak di Malaysia akan berubah landskap. Sekiranya, Johor DT melayakkan diri ke ACL maka Kedah akan diberi tempat dalam Piala AFC 2017, mengambil tempat Johor DT dalam Kumpulan F.

Kita sudah lihat pada awal musim 2017, Johor DT berada dalam fasa transisi dengan tiga pemain import baru yang bukan setaraf dengan Luciano Figueroa atau Jorge Pereyra Diaz. Bertambah pula kemasukan pemain muda seperti Safawi Rashid serta Afiq Fazail. Pasukan ini akan mengambil masa untuk mencapai tahap tinggi serta konsisten seperti biasa berlaku apabila sebuah pasukan melalui fasa perubahan.

Tetapi pasukan Johor DT masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke ACL tapi hanya dengan persembahan luar biasa kerana perlu menentang pasukan keempat terbaik Liga-J 2016 – Gamba Osaka. Kita sedar dalam perlawanan ‘one off’ itu setiap pasukan berpeluang melakukan kejutan. Justeru, kita berharap Johor DT dapat menyajikan aksi terbaik bagi mencapai satu tahap persembahan belum pernah kita lihat dalam sejarah bola sepak di Malaysia.

Kemenangan menentang Gamba Osaka akan meletakkan Johor DT dalam Kumpulan H bersama Adelaide United, Jiangsu Suning dan Jeju United. Enam perlawanan menentang kelab dari Australia, China serta Korea Selatan itu akan memberi faedah tidak terhingga kepada bola sepak Malaysia.

Kita lihat bagaimana negara jiran Thailand mendapat keyakinan tinggi apabila pemain kelab mewakili pasukan kebangsaan mereka.

Pasukan Johor DT memikul tanggungjawab berat dan kelihatan jauh berseorangan di depan dalam menerajui bola sepak Malaysia di pentas Asia.

Tempat pasukan Johor DT dalam saingan Piala AFC kekal dalam Kumpulan F bersama Magwe dari Myanmar, Global (Filipina) dan satu lagi pasukan yang belum layak. Tetapi mana-mana pasukan bakal mengisi tempat keempat dalam kumpulan ini memang tidak memberangsangkan. Kelab Lao Toyota dari Laos atau Boeing Ket Angkor (Kemboja) memang tidak mengujakan.

FELDA United pula diundi bersama Ha Noi dari Vietnam, Tampines Rovers (Singapura) serta Ceres-Negros (Filipina). Kumpulan G ini akan memberi persaingan kuat kepada pasukan FELDA dan kita berharap pasukan ini boleh membantu menaikkan kecekapan kelab Malaysia.

Pada Selasa minggu depan di Stadium Suita City, Johor DT akan berdepan cuaca sejuk dan pasukan lawan yang suka beraksi pantas. Sudah tiba masanya Johor DT mencorakkan latihan pramusim menentang kelab dari Jepun, Korea Selatan atau China. Tentangan diberi kelab Asia Tenggara sudah menjadi benteng kepada kemajuan Johor DT. Persiapan di tahap lebih tinggi akan membawa faedah dari setiap segi. Tahap taktikal, kecergasan serta keyakinan diri akan melonjak dan kita akan lebih bersedia mendaki gunung yang lebih tinggi.

Tetapi, di sini dan sekarang bukan masanya untuk membincangkan perkara di atas.

Apa jua yang dialami Johor DT ketika menentang Bangkok United akan digandakan dan di sini kita perlu berdisiplin dari segi taktikal serta emosi. Kita boleh mengambil teladan pasukan kebangsaan Singapura yang berjaya seri 0-0 menentang pasukan kebangsaan Jepun pada 2015 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Pada pertemuan itu, Singapura diramalkan akan dibelasah teruk Jepun yang membariskan pemain bintang beraksi di Eropah, tetapi sebaliknya berlaku. Singapura pula mempersembahkan corak permainan konservatif yang menakjubkan.

Malangnya, pemain tengah pertahanan terbaik Asia Tenggara, Hariss Harun tidak akan bersama Johor DT untuk cuba membantu mengulangi persembahan itu. Ketiadaan pemain Singapura itu yang juga juara Liga Super empat kali kerana berpindah ke Sepanyol sudah tentu menjadi kehilangan besar di peringkat tertinggi kelab Asia.

Apapun, kita mengharapkan perlawanan Johor DT-Gamba Osaka akan menjadi perbualan selamanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");