IPOH:Proses pembinaan semula Masjid Kampung Teluk Memali yang berusia 106 tahun di lokasi tapak baharunya di Taman Bougainvillea Bandar Seri Botani di sini telah siap hampir 80 peratus.
Masjid dibawah kendalian firma arkitek, ATSA Architect Sdn Bhd (ATSA Architects) kini giat memulakan langkah terakhir untuk mempersiapkan landskap sekitarnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ar Azim A Aziz berkata, pembinaan masjid tersebut bakal siap sepenuhnya pada Mac tahun ini dan ia masih menunggu pengesahan pihak Majlis Agama Islam Perak sama ada masih kekal sebagai masjid atau ditukar kepada status surau.
Jelasnya setakat ini proses melibatkan penyiapan landskap sekitar masjid dan pembinaan tandas.
“Proses pemindahan dan membaikpulih mengambil masa hampir tiga tahun dan ia proses yang sukar seperti melibatkan proses membaiki dan merawat komponen kayu dan beberapa komponen kayu perlu diperbaiki kerana pereputan, anai-anai dan beberapa faktor lain,” katanya ketika ditemui pada majlis gotong-royong Masjid Kampung Teluk Memali di sini hari ini.
Gotong-royong kali ini melibatkan penyertaan para pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UITM), Politeknik Ungku Omar dan Kolej Vokasional Lebuh Cator.
Terdahulu wakil keluarga Allahyarham Tun Abdul Hamid, Hanizah Tun Abdul Hamid menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada wakil masjid.
Tambahnya lagi, sejak Jun 2016, kerja-kerja penanggalan telah bermula dengan pemindahan sebuah mimbar kayu dari dewan solat utama masjid ke balai raya berdekatan malah struktur kolah telah diangkat dan dibawa keluar dengan menggunakan kren dan diangkut ke tapak baru pada hari yang sama.
“Kami juga perlu menemui pakar kayu untuk memastikan kayu yang digunakan adalah bersesuaian dan berkualiti bagi menggantikan kayu yang telah reput termasuk menggantikan satu tiang masjid yang telah patah digantikan dengan kayu cengal,” katanya lagi.
Ujarnya lagi, semua komponen struktur kayu telah diangkut menggunakan lori dan disimpan dengan teratur selepas langkah penandaan dilakukan komponen kayu yang telah ditanggal.
Tambah Ar Azim lagi, bumbung masjid juga diubahsuai mengikut kesesuaian dan kepakaran daripada Kelantan digunakan bagi merealisasikannya.
Katanya lagi, beberapa universiti dan kolej tempatan juga bakal mengambil bahagian dalam usaha itu sebagai inisiatif khidmat masyarakat mereka iaitu Politeknik Ungku Omar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Taylor’s.
Masjid ini katanya boleh menampung 150 orang jemaah manakala di bahagian balai lintang sekitar 100 jemaah dalam satu-satu masa.
Beliau turut meminta agar pihak yang berkemampuan sudi menyumbangkan sumbangan untuk menampung kos keseluruhan usaha ini menerusi sasaran dana sekitar RM100,000 dan sebuah akaun bank dibuka khusus untuk melaksanakan projek pemuliharaan bukan keuntungan di bawah akaun TABUNG PEMINDAHAN MASJID TELUK MEMALI bernombor 105 2800 03201 (Affin Islamic Bank).
Tambahnya lagi, setakat ini dana sumbangan masih belum mencukupi bagi pembinaan tandas dan keperluan asas lain bagi masjid ini.