Isu Panas

Pemilihan Jamilah tepat, mudah dekati rakyat

KUCHING – Pemilihan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon BN bagi kerusi Dun Tanjong Datu adalah tepat kerana beliau mudah didekati rakyat, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, selain itu balu bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu juga terkenal dengan aktiviti amal dan sukarela, selain banyak menyumbang dalam bidang pendidikan, kesihatan dan alam sekitar.

Fatimah yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, Jamilah juga seorang yang sentiasa rendah diri, mesra, peramah dan senang untuk didekati rakyat serta boleh bertutur dalam beberapa loghat seperti Iban, Bidayuh dan Hakka selain fasih berbahasa Inggeris.

“Selama ini beliau begitu serius melakukan kerja-kerja sukarela di kawasan Dun Tanjong Datu, kerusi yang disandang oleh suami beliau Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (sebelum ini).

“Beliaulah yang turun padang untuk memberi khidmat yang diperlukan oleh penduduk Tanjong Datu ketika suami beliau sebagai ketua menteri sibuk menguruskan hal ehwal negeri dan hakikat ini diakui oleh Tok Nan (Adenan) sendiri,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan Jamilah sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Tanjong Datu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon PRK Dun Tanjong Datu manakala pengundian awal pada 12 Februari dan pengundian pada 18 Februari.

PRK itu diadakan berikutan kematian Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas.

Fatimah berkata, Wanita PBB dan BN Sarawak mengalu-alu pencalonan Jamilah kerana beliau tahu visi Adenan untuk kawasan Tanjong Datu.

“Wanita PBB dan BN Sarawak berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari kerana menghargai sumbangan, kebolehan dan potensi Puan Sri Jamilah.

“Kami berharap untuk melihat lebih ramai wanita diberi peluang menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang,” kata Fatimah.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PBB, Datuk Peter Minos turut bersetuju bahawa Jamilah adalah calon paling sesuai untuk mempertahankan kerusi Tanjong Datu.

“Saya pernah bekerja bersama beliau dalam Yayasan Jantung Sarawak dan melihat beliau sangat berdedikasi dan komited, di samping orang akan mengingati beliau sebagai seorang isteri ahli politik terbaik yang sangat dihormati rakyat,” katanya.

Minos yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Samarahan (MPS) berkata beliau akan turun berkempen untuk Jamilah di kawasan yang penduduknya majoriti kaum Bidayuh, Selako dan Iban.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");