Jenayah

Pemilik Bot Mengaku Tidak Bersalah, Diikat Jamin RM5,000

Kota Kinabalu: Pemilik bot katamaran, Leong Vin Jee, 44, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan membawa lebih muatan di perairan Mengalum dekat sini, 28 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan RM5,000, semalam.

Leong membayar jaminan berkenaan di kaunter pembayaran di bangunan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, jam 11 pagi.

Untuk rekod, kelmarin, Leong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang berlebihan ke Pulau Mengalum.

Leong membuat pengakuan itu di depan Majistret Jessica Ombou Kakayun, pada prosiding di Hospital Queen Elizabeth memandangkan ketika itu, Leong masih dirawat di hospital berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Leong didakwa melakukan kesalahan itu di Jeti Pondok Hentian Rehat, Lorong Mustapha Tuah, Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, jam 9.15 pagi, 28 Januari lalu.

Sinar Harian melaporkan, Leong didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jessica membenarkan Leong diikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin tempatan. Kes akan disebut semula, 28 Februari depan.

Sabtu lalu, tekong bot, Sharezza Salian, 26, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah membawa penumpang melebihi muatan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad ketika menjatuhkan hukuman terhadap Sharezza turut memerintahkan ia berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 30 Januari lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");