Berita Hari Ini

Pengawasan Ditingkatkan Jika Zon Aliran Bebas Dibuka Semula

PADANG BESAR: Jabatan Imigresen akan meningkatkan pengawasan sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuka semula zon aliran bebas Wang Kelian, di sini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali .

Beliau berkata, difahamkan sehingga kini masih tiada sebarang ketetapan dibuat kerajaan berhubung status atau keputusan pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian.

“Zon aliran bebas itu juga sudah beberapa kali dibuka dan ditutup atas beberapa faktor berkaitan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand walaupun beberapa pihak mahu ia dibuka semula atas faktor merancakkan semula aktiviti ekonomi di situ,” katanya lapor mstar.

Mustafar ditemui pemberita pada Program Institusi Raja dan Imigresen Memartabatkan Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat dan Negara di Masjid Nurul Husna, di sini, Rabu.

Turut berangkat pada program itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang kemudiannya bersama-sama dengan peserta dan ketua-ketua agensi awam Perlis berbasikal untuk mengunjungi dan menyantuni asnaf di kawasan berkenaan.

Mustafar berkata penetapan status zon aliran bebas bukan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen sebaliknya Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekiranya diarahkan dibuka semula, Imigresen akan memastikan kawasan itu ditadbir sebaiknya mengikut tanggungjawab dan bidang tugas imigresen,” katanya.

Zon aliran bebas itu sebelum ini memberi kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen sehingga jarak kira-kira satu kilometer dari sempadan Wang Kelian di sini dan Wang Prachan, Thailand, namun dihentikan berkuat kuasa 1 April 2015 atas faktor keselamatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");