Membawang Hari Ini

Penyabar, baik hati

Betapa pantas masa berlalu, sudah hampir sebulan Allahyarham Papa J atau Jamal Manap, 55, dijemput Ilahi. Arwah Papa J bukanlah asing dalam kalangan selebriti dan penggiat seni tempatan.

Selain pernah menganggotai kumpulan duo Asiarasa lewat era 1980-an dan dikenali melalui lagu Tanda Ingatan bersama rakannya, Khalid Ahmad, arwah juga aktif sebagai penari.

Pemergian Papa J pada 13 Januari lalu di Hospital Ampang, selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya di Taman Kosas, masih dirasai pasangan pelakon serta pengacara Sazzy Falak dan Nazril Idrus.

Mereka pernah bekerjasama pada 2009 ketika Papa J menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang koreografer program Sehati Berdansa musim ketiga (SB3).

Berkongsi pengalaman bekerja dengan arwah tujuh tahun lalu, Nazril, 43, berkata dia dan Sazzy, 36, ketika itu sudah tiada pilihan kerana koreografer yang disediakan semuanya sudah menjadi pilihan pasangan selebriti lain.

“Untuk kami hanya tinggal Papa J. Tidak dinafikan saya dan Sazzy cuak juga untuk menyahut cabaran dalam pertandingan SB3 kerana koreografer kami paling berusia.

“Apapun, kami akur dengan apa yang ditetapkan pihak produksi membuatkan kami berlapang dada untuk memulakan kerjasama dengan arwah ketika itu,” katanya.

Sazzy dan Nazril lega kerana bekerja dengan Papa J sangat mudah hingga membuatkan mereka berasa tenang dan selesa.

Kata Nazril, arwah sangat penyabar, baik hati dan lemah lembut. Dia tidak pernah meninggikan suara dan mudah dibawa berbincang serta boleh menerima apa saja pendapat yang diberikan kepadanya.

“Saya dan Sazzy tidak tertekan sepanjang kami mendapat bimbingan tarian daripada arwah. Hingga kini, walaupun Papa J sudah tiada, saya dan Sazzy sangat sayang padanya kerana pernah berkongsi ilmu dengan kami,” katanya.

Siapa sangka rezeki Sazzy dan Nazril apabila ketika kemuncak persaingan SB3,mereka muncul naib juara selepas tewas di tangan pasangan Sein Ruffedge bersama isteri, Nana.

Sibuk menguruskan perniagaan dalam bidang fesyen, Sazzy menganggap Papa J seperti keluarga sendiri. Mereka juga pernah pergi bercuti bersama dan tetap rapat walaupun SB3 sudah berakhir.

Katanya, mereka saling bertanya khabar dan tahun lalu agak kerap juga arwah menghubungi mereka melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial untuk bertanya khabar.

Bagaimanapun, Sazzy atau Sazlini Shamsul Falak terkilan kerana hasrat untuk bertemu arwah tidak kesampaian.

“Memang ingin bertemu tapi masa tidak sesuai. Apa pun, kami doakan semoga arwah tenang di sisi Yang Maha Esa,” katanya.

Jamal dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Ampang selepas terjatuh di bilik air di rumahnya dan meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalam kepala. Jamal masih bujang dan tinggal seorang diri.

Arwah disifatkan seorang yang memiliki karakter ceria dan suka tersenyum dan sering dilihat menghadiri program hiburan seperti Gegar Vaganza.

Cukup disenangi dalam kalangan rakan selebriti, ketika hayatnya Jamal juga menjaga ibunya, Maimon Mohamad Yusof, 79.

Sazzy yang kini bahagia di sisi suami dan dua anak kembar, Iman Lily dan Tiara Rose, 6, tidak akan melupakan kenangan manis bersama arwah.

Berkahwin pada 8 November 2006, Sazzy dan Nazril antara pasangan selebriti yang bahagia dan terus menceburi kerjaya seni.

Pada awal November tahun lalu, pasangan sejoli ini pergi bercuti sekeluarga di pulau Maldives. Percutian sangat bermakna itu bersempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

Meskipun sudah sedekad hidup bersama, mereka tetap romantik. Mereka juga dipilih majalah EH! sebagai Pasangan Selebriti Paling Di Minati pada Julai 2010.-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");