Perak Hari Ini

Perak Sasar Tanam Lima Juta Pokok

Lumut: Perak mensasarkan untuk penanaman sebanyak lima juta pokok dalam tempoh tiga tahun dalam menghijaukan semula hutan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu diusahakan bagi mewujudkan kesedaran alam sekitar melalui kempen tanam semula sejuta pokok pada fasa pertama kempen bermula 2013 hingga tahun lalu.

“Kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Perhutanan Negeri melaksanakan fasa kedua dengan menanam tiga juga pokok di seluruh negeri dan ditanam dengan pokok spesies asal di kawasan yang mengalami penebangan hutan termasuk di kawasan tanah rendah dan berpaya.

“Di kawasan Matang, kita sudah melaksanakan penanaman semula pokok bakau di sepanjang persisir pantai dan untuk fasa kedua ini kita menaikkan sasaran daripada tiga juta pokok kepada lima juta pokok untuk ditanam sepanjang tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tree For A Tree anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Taman Awam Teluk Batik di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Datuk Shamsul Ahmad.

Sebanyak 1,000 pokok yang terdiri daripada 17 spesies asal pokok hutan pantai antaranya gelam tikus, beruas, bentagor paya, tanjung, jambu kuning, salam dan tembusu padang ditanam pada program itu membabitkan penyertaan seramai 500 sukarelawan.

Zambry berkata, jangkaan tempoh masa pelaksanaan bagi melaksanakan penanaman lima juta pokok itu juga mungkin akan dipanjangkan kerana ia lebih tinggi dari sasaran ditetapkan sebelum ini, bagaimanapun dengan pembabitan dan sokongan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ia tidak mustahil untuk dicapai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");