Membawang Hari Ini

Peritnya Derita Berpisah

Mungkin ramai tidak mengetahui penderitaan yang dialami penyanyi Cat Farish apabila berhadapan dengan kemurungan selepas bercerai dengan suri hidupnya, Hartini Ramly pada April tahun lalu.

Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli berkata, empat bulan dia menyendiri, termenung dan diselubungi perasaan rindu.

“Sejujurnya saya tak menyangka mengapa jadi begini. Selepas bercerai boleh dikatakan setiap masa terbit rasa rindu mendalam terhadap anak-anak dan bekas isteri sehingga saya memilih untuk menyendiri.

“Ketika itu macam-macam bermain di fikiran. Malah saya berada dalam keadaan yang tak terurus. Seakan-akan tidak percaya perkahwinan yang dibina selama 10 tahun akhirnya musnah.

“Melihatkan keadaan saya yang teruk, mak tak membiarkan saya tinggal seorang diri. Dia bimbang saya melakukan sesuatu yang membahayakan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tidak cukup dengan itu, Cat yang juga bekas anggota kumpulan The Fabulous Cats turut berdepan masalah kewangan.

“Saya tak malu mengakui perkara ini. Saya termenung mengenangkan nasib diri. Sehinggakan bekas mak mentua memberikan saya duit. Betapa teruknya keadaan saya selepas bercerai.

“Namun segalanya berubah selepas saya ditegur pengarah Jinggo ketika menjalani penggambaran drama Misteri Wan Peah. Dia meminta saya berubah seperti yang dia kenal dulu.

“Sejak itu saya belajar menerima takdir dan mula berubah. Alhamdulillah orang sekeliling juga banyak membantu memberi nasihat terutamanya Eddie. Memandangkan dia pun pernah melalui pengalaman sama, jadi dia banyak berkongsi pengalamannya itu,” katanya.

Menurut Cat, tiga anaknya kini berada di bawah jagaan bekas isteri manakala Cat bersama mereka pada hujung minggu.

Disebabkan itu, Cat pernah merancang untuk rujuk semula namun gagal.

“April ini genap setahun saya bercerai. Tipu kalau saya sudah melupakan peristiwa itu. Tempoh 10 tahun perkahwinan bukannya singkat. Banyak perkara kami lalui bersama. Paling saya rindukan adalah suasana kekeluargaan itu. Saya juga rindukan detik ketika bercuti bersama-sama.

“Saya pernah menyatakan hasrat kepada mak mentua untuk rujuk semula. Malangnya perancangan itu tak berjalan dengan baik. Selepas bercerai baru saya sedar kawan yang banyak merosakkan hubungan kami. Mereka mengeruhkan lagi keadaan dengan menghasut bekas isteri.

“Tapi tak mengapa kerana setiap hari saya belajar sesuatu yang baru. Saya menganggap ini sebagai pengalaman. Sekarang saya sudah boleh meneruskan kehidupan baru,” katanya.

Bergerak solo

Berkongsi perihal karier, Cat kini muncul dengan single baru berjudul Seram Dik Seram yang juga lagu tema drama Misteri Wan Peah yang mula bersiaran sejak kelmarin di TV3.

Lagu ciptaan Cat dan lirik oleh Eddie Ghiller, bekas anggota kumpulan Tiga Swagger itu adalah permulaan kepada kerjaya solo Cat yang turut mendapat sokongan syarikat Laila Kudap Kudap.

“Tahun ini saya bergerak secara solo dengan membawa imej baru. Alhamdulillah, syarikat Laila Kudap Kudap membuka laluan dan banyak memberi sokongan.

“Malah mereka juga yang membantu saya menjana pendapatan,” katanya.

Selain itu, Cat turut memberitahu dia kini bekerja dengan syarikat milik Ahmad Idham iaitu Ahmad Idham Film Academy (AIFA).

Pembabitan Cat adalah sebagai penasihat muzik bagi lagu tema filem yang diterbitkan AIFA.

Perkembangan lain, Cat kini dalam proses menghasilkan album The Fabulous Cats Farish X yang membabitkan kerjasama dengan bekas anggota kumpulan itu.

“Antara bekas anggota yang bersetuju terbabit dalam projek ini ialah Adib, Farhana, Wangi dan Afif. Saya masih lagi menunggu jawapan daripada Datin Alyah dan Zizi. Lagu sudah ada, tinggal lagi nak rakam.

“Selain itu, album ini turut memuatkan lagu tema filem yang tidak pernah diterbitkan dalam album sebelum ini. Insya-Allah album ini akan siap sepenuhnya sebelum pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Menariknya, album ini diterbitkan di bawah syarikat Laila Kudap Kudap. Kami juga bakal mengadakan siri jelajah di seluruh negara. Semua ini adalah hadiah buat peminat selepas lima tahun saya tak muncul dengan lagu baru,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");