Isu Panas

Perlu kajian jika mahu PRN Sabah berasingan

KOTA KINABALU – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kajian perlu dijalankan terlebih dahulu sekiranya kerajaan Sabah mahu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan daripada pilihan raya umum (PRU).

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

“Saya berfikir kita harus terbuka untuk melakukan beberapa kajian dan analisis jika kerajaan negeri Sabah memutuskan untuk mengadakan PRN lebih awal.

“Tentunya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mempunyai alasan yang kukuh jika mahu mencadangkan perkara itu (PRN),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Skuad Penerangan dan Media Wanita Umno peringkat Sabah di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang memikul tugas Timbalan Presiden Umno berkata demikian sebagai mengulas desas-desus yang tersebar sejak sebulan lalu bahawa Sabah mungkin mengadakan PRN secara berasingan dan lebih awal daripada PRU.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BN pusat juga perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.

Ditanya mengenai mesyuarat tertutup dengan Umno dan BN negeri yang dihadirinya di sini sejak semalam, Ahmad Zahid berkata, beliau berkeyakinan dengan keupayaan kepimpinan negeri dalam perjuangan parti.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata beliau komited dalam membantu mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar negara terdiri daripada wanita termasuk menjadi calon pilihan raya.

“Saya akan mencari jalan agar permintaan 30 peratus ini tercapai.

“Saya juga akan berbisik dengan Perdana Menteri agar lebih ramai wanita, khususnya di Sabah, diberi peluang untuk bertanding sebagai calon kerusi parlimen dan dewan undangan negeri,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata keupayaan Wanita Umno adalah luar biasa dan sayap itu telah membuktikan keikhlasan bekerja untuk rakyat walaupun Umno berdepan dengan fitnah melampau oleh pembangkang.

“Masyarakat kini sering dikelirukan dengan maklumat yang ingin dijadikan sebagai propaganda pembangkang.

“Kita perlu adakan pendekatan baharu agar pembangkang tidak meruntuhkan kredibiliti kita. Keutuhan Umno harus dipertahankan,” katanya.

Ahmad Zahid turut meminta Wanita Umno memperhebat kerjasama dengan sayap wanita parti-parti komponen BN bagi mengukuhkan lagi jentera Wanita BN.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");