Berita Hari Ini

Persatuan Saudagar Logam akur label produk bulu haiwan

JOHOR BAHRU – Persatuan Saudagar-Saudagar Logam, Kejenteraan dan Bahan-Bahan Binaan Johor bersetuju dengan tempoh sebulan yang diberikan terhadap peniaga untuk melabel produk bulu binatang yang dijual kepada orang ramai.

Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata persetujuan disampaikan oleh presiden persatuan berkenaan, Datuk Ong Kim Hwa menerusi dialog yang diadakan hari ini bagi membincangkan isu penjualan produk bulu binatang seperti babi dan anjing termasuk berus cat.

“Menerusi perbincangan, persatuan itu memahami langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang memberikan tempoh sebulan bermula 9 Feb lepas kepada peniaga untuk melabel produk bulu binatang,” katanya.

Turut hadir pada dialog itu Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Johor Bahru, Chan Wah Yann.

Siew Kiong berkata selain melabel produk, antara perkara yang dibincangkan menerusi dialog terbabit merangkumi pengasingan produk, produk mesti dipamer pada tempat yang mudah dilihat, maklumat produk mesti menggunakan bahasa kebangsaan serta tidak menyalahgunakan logo halal pada produk.

“Kita mahu wujudkan perniagaan yang harmoni dan probisnes di negeri ini. Pemantauan secara rawak oleh anggota penguatkuasa KPDNKK Johor akan dilakukan ke atas premis-premis penjualan produk bulu binatang ini selepas tamat tempoh sebulan yang ditetapkan berkenaan,” kata Siew Kiong.

Beliau dalam pada itu turut meminta para peniaga supaya melaporkan kepada pihak KPDNKK sekiranya terdapat individu yang menyamar dan menjalankan operasi merampas produk bulu binatang berkenaan.

Katanya KPDNKK Johor setakat ini hanya melakukan dua serbuan ke atas premis menjual produk bulu binatang baru-baru ini, sebelum menghentikannya berikutan arahan kementerian.

“Sekiranya terdapat serbuan dilakukan dalam tempoh sebulan ini, para peniaga boleh meminta pegawai atau anggota penguat kuasa yang terlibat menunjukkan kad kuasa,” katanya dengan menambah peniaga juga boleh melaporkannya ke talian hotline KPDNKK 1-800-886-800.

Sementara itu, Ong berkata terdapat kira-kira 240 peniaga bernaung di bawah persatuan itu dan pihaknya akan menyalurkan maklumat berkaitan penjualan produk bulu binatang kepada mereka dari semasa ke semasa. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");