Membawang Hari Ini

Persembahan 5 Bintang

Persembahan teater Throne of Thorns di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini boleh dikatakan berada pada tahap lima bintang apabila dipentaskan dengan penuh energi, mencetuskan unsur kekaguman dan menghiburkan.

Sambutan hebat yang diberikan terhadap pementasan tiga malam ini ternyata menggembirakan aktivis teater dan pelakon terkenal Dr Norzizi Zulkifli selaku pengarah.

Dilihat pada mata kasar, seperti mustahil untuk menggabungkan elemen tradisi makyung, dikir barat dan seni silat dalam naskhah yang diadaptasi daripada karya agung William Shakespeare berjudul Tempest.

Apatah lagi hampir keseluruhan pelakonnya terdiri daripada ‘mat dan minah Salih’ iaitu 10 graduan teater dari University of Wollongong, Australia.

Bagaimanapun hasil kerja keras, komitmen yang padu serta semangat berpasukan yang tinggi, Norzizi membuktikan impiannya bukan satu perkara mustahil.

Dia juga menampilkan dua pelakon tempatan, Zamzuriah Zahari dan Baisah yang juga pensyarah ASWARA yang berupaya membantu menghidupkan lagi persembahan.

Teater Throne of Thorns atau Takhta Berduri bukan asing buat Norzizi kerana menjadi naskhah kajian dan penyelidikannya bagi menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Wollongong, Australia.

Throne of Thorns mengisahkan raja negeri Inderapura yang sudah diambil kuasa dan negerinya oleh adindanya, Tamak.

Tamak sudah mengambil alih negeri dan membuang abangnya keluar dari negeri itu. Raja dan anak perempuannya Suci yang ketika itu berumur tiga tahun sudah belayar dan sampai di sebuah pulau terpencil dan memulakan hidup baru.

Selepas 12 tahun, cerita ini bermula dengan Tamak bersama seorang lagi raja iaitu Lalang dari negeri Puncak Timur belayar bersama anak lelakinya Putera dan dalam perjalanan pulang, Raja dengan kuasa kesaktiannya membuatkan kapal itu terbakar dan tenggelam kerana ribut yang dahsyat.

Ia menyebabkan semua anak kapal terdampar di pantai sekali gus membolehkan Raja untuk bersemuka dengan Tamak.

Pertemuan mereka akhirnya meleraikan segala persengketaan apabila akhirnya kedua-dua mereka bersatu semula sebagai sebuah keluarga.

Unsur makyungsudah diperlihatkan oleh Norzizi pada awal persembahan menerusi segmen menghadap rebab semua pelakon.

Elemen tradisi yang ditampilkan bukan bermaksud menjadikan pelakon ini Melayu sebaliknya menjadi cabaran bagaimana mereka mengaplikasi dan menghayati watak yang diberikan.

Namun, kebijaksanaan Norzizi yang menyelitkan perkataan Melayu serta kesudian pelakon terbabit menzahirkan dialog dalam bahasa Malaysia ternyata disambut baik penonton.

Dialog berunsur lucu ini ternyata memberi kesegaran dan menggeletek hati penonton sekali gus menggamatkan suasana.

Konsep Intercultural Theatre iaitu adunan pertembungan budaya yang menjadi topik kajian utama Norzizi dalam menyiapkan tesis PhD berjaya ditampilkan dengan baik.

Kekemasan kareografi, pergerakan silat yang teratur semua pelakon sememangnya mendapat pujian penonton yang hadir.

Norzizi berkata, kepuasan yang dirasai kali ini amat berbeza berbanding pementasan di Australia dua tahun lalu.

“Kali ini dipentaskan di tanah air sendiri dan saya rasa seakan-akan tak percaya ia terjadi. Dua malam terakhir saya menangis kerana ia berjaya direalisasikan di negara sendiri.

“Babak penamat yang menampilkan penyatuan semula abang dan adik amat berkesan di hati saya. Mereka pada mulanya bergaduh untuk membuang ego masing-masing sebelum kembali bertaut. Paling tersentuh juga apabila kedengaran bunyi serunai untuk keberangkatan pulang raja,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya ini unsur kemelayuan yang cuba ditampilkan iaitu mengiktiraf raja sebagai lambang kuasa.

“Tanpa raja kita akan hilang paksi. Apa makna tanah air jika tiada raja? Pada malam pertama persembahan, perasaan saya bercampur baur kerana di tapak inilah (ASWARA) saya dibesarkan kerana ibu bapa adalah penari dan kareografer Kompleks Budaya Negara (KBN).

“Ini asalnya tapak KBN sebelum ditukar kepada Aswara. Selepas itu saya pula belajar di sini dan seterusnya mengarah pula teater di sini.

“Ia ibarat sirih pulang ke gagang. Cerita ini diadun bentuknya dalam tempoh dua minggu. Hanya 30 peratus penambahbaikan dibuat daripada naskah asal,” katanya.

Tambahnya, pergerakan kontemporari pelakon dicetuskan di sini yang dibantu oleh kareografer profesional.

Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini turut membuat penambahan membabitkan pemuzik dan peralatan muzik Melayu dalam teater ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");