SHAH ALAM : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta agar pimpinan PAS tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung pertemuan PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), baru-baru ini.
Kata Mahfuz, ia telah menyebabkan kekeliruan besar berhubung status hubungan PAS dan PPBM.
“Saya fikir pemimpin PAS yang lain tidak perlulah mengeluarkan kenyataan tentang perbincangan kerjasama yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Tuan Ibrahim (selepas pertemuan) kata sudah tubuh jawatankuasa teknikal, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan pula keluarkan kenyataan menyatakan hasil pertemuan itu akan dibincang dalam Mesyuarat PAS Pusat, bukankah ia mengelirukan semua pihak?” soalnya kepada Sinar Online, hari ini.
Pertemuan yang berlaku antara PAS dan PPBM baru-baru ini masih diperingkat perbincangan dan penelitian, kata Nasrudin, 3 Februari lalu.
Katanya, mengikut polisi PAS, hasil perbincangan oleh wakil parti akan dibawa balik ke Mesyuarat PAS Pusat untuk dibincang dan diputuskan semula.