Jenayah

Polis dapat petunjuk baharu kes tembak ahli perniagaan

GEORGE TOWN: Polis mendapat beberapa petunjuk baharu dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kejadian seorang ahli perniagaan wanita maut ditembak semasa memandu di Taman Pekaka 1, Glugor di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Tye berkata pihaknya juga percaya dengan beberapa petunjuk itu, ia akan dapat membawa polis untuk mengenal pasti suspek yang melakukan jenayah berkenaan.

“Kami tidak boleh maklumkan (petunjuk) kerana ia dalam siasatan. Cuma apa yang saya boleh katakan apabila dia (suspek) lakukan jenayah di khalayak ramai dan sekarang ini dengan pelbagai teknologi seperti telefon bimbit serta sebagainya ia sangat membantu polis.

“Polis juga mendapat bantuan daripada orang awam iaitu rakaman video dan gambar ketika kejadian dan saya percaya melalui (rakaman) itu kami dapat kenal pasti siapa yang melakukan jenayah itu,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Ikrar Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang, mangsa berusia 49 tahun itu memandu kereta jenis BMW seorang diri apabila dihampiri dua lelaki menunggang motosikal yang melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

Mangsa dikenal pasti seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan, ditembak dari cermin sisi pemandu dan enam das tembakan mengenai dadanya.

Chuah berkata polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman video atau gambar semasa kejadian tembakan itu agar menyerahkan kepada pihaknya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain itu, kami juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian termasuk di kawasan sekeliling dan penduduk di situ yang mempunyai rakaman (CCTV) juga diminta bekerjasama dengan polis kerana suspek yang terlibat ini sangat berbahaya dan perlu ditangkap segera,” katanya.

Katanya setakat ini siasatan mendapati kes terbabit tiada kaitan dengan geng kongsi gelap atau gengster dan polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

“Kami siasat daripada semua aspek termasuk perniagaan mangsa, perniagaan suaminya atau motif-motif lain yang dipercayai ada kemungkinan. Suaminya menjalankan perniagaan berkaitan pusat hiburan,” katanya.

Chuah berkata suspek menggunakan pistol jenis auto dan polis menemukan sejumlah kelongsong peluru jenis .99m di kawasan kejadian.

Dalam pada itu, beliau menafikan mangsa yang ditembak itu hamil seperti dilaporkan beberapa portal media dan turut meminta semua pihak agar tidak memutar belit atau menyebarkan khabar angin berhubung kejadian itu.

Katanya beri ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian itu dan beliau percaya polis akan dapat selesaikan kes berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya percaya dengan bantuan beberapa pihak termasuk keluarga mangsa, kami akan mendapatkan beberapa maklumat dan petunjuk baharu selepas ini. Saya juga tidak akan dedahkan motosikal dan nombor pendaftaran yang digunakan suspek setakat ini kerana masih dalam siasatan polis,” katanya. –Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");