Jenayah

Polis rampas tiga bagasi disyaki bahan letupan

SEPANG – Tiga bagasi disyaki mengandungi bahan membuat dadah bernilai RM1 juta dirampas polis Sepang pada 23 Jan lalu dari bahagian ‘Lost and Found’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ketiga-tiga beg berkenaan mengandungi serbuk kristal, tiba di KLIA menerusi penerbangan dari Dhaka, Bangladesh pada 22 Januari lalu.

“Kesemua bahan berkenaan dengan jumlah berat 49.5 kg dibalut menggunakan plastik bungkusan tepung capati dan kemudian dimasukkan ke dalam bagasi tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya tiada tangkapan dibuat pihaknya dan mereka kini sedang mengesan pemilik beg berkenaan yang didaftarkan atas tiga penama yang berlainan dipercayai warganegara asing.

“Kami syak suspek ini sengaja tidak mengambil beg berkenaan untuk melihat gerak geri pihak polis sama ada akan merampas atau sebaliknya.

“Jika perkara sebaliknya berlaku, sudah pasti mereka akan tuntut beg terbabit sebelum dipasarkan ke dalam negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata polis Sepang telah menangkap seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Pakistan pada 21 Jan lalu atas kesalahan memiliki pasport dan kad kredit palsu.

Katanya, ketiga-tiga mereka menjalankan modus operandi menggunakan data kad kredit milik orang lain yang dicuri menggunakan alat mencuri data dan kemudian dijual dengan harga RM1,200 setiap satu.

“Hasil semakan polis mendapati suspek lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu Uber memiliki rekod jenayah iaitu berkaitan kes rogol, kereta klon dan samun dalam tempoh dua tahun sebelum ini,” katanya.

Jelasnya antara barang yang dirampas adalah 37 keping kad kredit tempatan dan luar negara, dua keping kad ATM, lima keping pasport Malaysia, dua keping pasport Pakistan dan dua telefon bimbit.

“Kesemua mereka telah dituduh Mahkamah Sepang mengikut Seksyen 474/467 Kanun Keseksaan kerana memiliki kad kredit dan pasport palsu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata seorang lagi suspek warganegara Pakistan kini sedang dicari pihak polis, disyaki sebagai dalang utama kegiatan tersebut yang beroperasi sejak setahun lalu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");