Sukan Hari Ini

Presiden FAM : Annuar Tak Kecil Hati Jika Kalah

KUALA LUMPUR: Calon presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata menang atau kalah dalam pertandingan pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53, 25 Mac ini, tiada masalah dan beliau tidak rasa ‘kecil hati’.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu turut berharap agar pertandingan merebut jawatan tertinggi badan induk itu bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan sogokan.

“Sehingga hari ini difahamkan saya masih calon tunggal yang secara rasmi dan hitam putih menerima pencalonan bagi jawatan Presiden FAM. Ditakdirkan ada pertandingan, insyaAllah ia akan berjalan secara keluarga bola.

“Perwakilan pun cuma 39 orang termasuk saya. InsyaAllah, di pihak saya tiada kempen, tiada lobi. Menang kalah tiada masalah dan tiada ‘kecil hati’. Pertandingan juga saya percaya bebas rasuah dan sogokan dalam apa juga bentuk,” katanya, lapor Berita Harian.

“Lagipun itulah yang kita mahu dalam FAM, bersih. Yang bakal dipilih timbalan, naib dan exco pula harus bebas. Siapapun saya terima, termasuk orang politik atau siapa saja,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau tidak akan menentukan siapa pegawai atau jurulatih kebangsaan dan tiada sebarang keputusan akan dibuat secara sendiri.

Jelasnya, semua pihak perlu menghidupkan semangat musyawarah dan kerjasama serta bebas bersuara dan memberi pendapat.

“Kebebasan menegur, mengkritik perlu kita galakkan.Tiada tindakan atau penggantungan semata-mata kerana mengkritik. Ia digalakkan,” katanya.

Annuar juga seakan berkempen apabila menyatakan keharmonian keluarga besar bola sepak Malaysia akan cuba dipupuk dan akan bekerjasama dengan menteri dan kerajaan serta semua pihak yang boleh memajukan bola sepak negara.

Katanya, paling penting satu ‘blue print’ baharu bola sepak Malaysia untuk tempoh 30 tahun akan datang perlu segera dirangka, selain tindakan pelan jangka pendek dan sederhana dilaksanakan.

“Apapun, kita tunggu dan lihat perkembangan pemilihan ini. Yang pasti kita akan jaga suasana saling hormat serta persahabatan, tiada perkara yang melanggar semangat kesukanan tinggi. Tak perlu berkumpulan atau berkempen berlebihan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");