Berita Hari Ini

Projek Kebenaran Bekerja Etnik Rohingya Bermula Mac Ini

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dari etnik Rohingya akan bermula 1 Mac depan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, projek perintis itu membolehkan 300 etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat.

“Mereka ini akan ditempatkan di syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan perkilangan bertujuan untuk memberi kemahiran dan sumber kewangan bagi membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi mengenai isu-isu berkaitan UNHCR di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif kerajaan membenarkan etnik Rohingya itu bekerja secara tidak langsung dapat menangani isu pemerdagangan orang dengan lebih berkesan.

“Selama ini ketiadaan status imigresen kepada etnik Rohingya menjadikan mereka golongan yang berpotensi untuk dieksploitasi,” katanya.

Selain itu beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa komited mencari pendekatan terbaik dalam menguruskan pemegang kad UNHCR yang dizahirkan melalui melalui sifat kemanusiaan dan bantuan yang diberikan.

“Walaupun Malaysia tidak menjadi ahli kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967, namun negara akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan UNHCR sebagai badan utama mengendalikan pelarian.

“MKN kini sedang dalam rangka untuk menambah baik arahan MKN No 23 tahun 2009 bagi memastikan pengurusan pemegang kad UNHCR di Malaysia dapat dibuat dengan lebih kemas dan teratur.

“Selain itu, ia turut mengambil kira kesesuaian dengan perkembangan semasa dan situasi pergerakan tidak sah mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");