Sukan Hari Ini

PSG berpesta gol benam Marseille

PARIS: Edinson Cavani menyumbat gol ke-35 pada musim yang menakjubkan ketika membantu Paris Saint Germain (PSG) membelasah Marseille 5-1 dalam pertembungan `Le Classique’ awal pagi tadi dan melonjakkan pasukannya ke tangga kedua saingan Ligue 1.

Pasukan juara Perancis ini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Monaco dan memiliki mata yang sama dengan Nice tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Seramai 65,252 penonton yang memenuhi A Stade Velodrome mengharapkan Marseille mampu menyerlah dan memberi cabaran kepada musuh tradisi mereka (PSG) selepas menyaksikan kepulangan Dimitri Payet serta tambahan pelaburan baharu kelab.

Namun, penonton tuan rumah terdiam selepas enam minit perlawanan berlangsung apabila kapten PSG, Thiago Silva melakukan hantaran silang yang cukup menarik untuk disudahkan melalui tandukan kemas pertahanan Brazil, Marquinhos, bagi gol pembukaan pelawat.

Luka pasukan tuan rumah bertambah parah apabila Cavani meledak gol kedua PSG pada minit ke-16 untuk memastikan pelawat selesa mendahului sehingga tamat babak pertama.

Lima minit berlangsung babak kedua, Lucas terus mengukuhkan kedudukan PSG menerusi gol ketiga diikuti jaringan oleh Draxler untuk gol keempat (minit ke-61).

Marseille memberikan sedikit harapan kepada penyokong mereka apabila Fanni berjaya merapatkan sedikit jurang hasil jaringan pada minit ke-70.

Namun selang dua minit kemudian, Blaise Matuidi meledak gol kelima pelawat yang dilihat terus ‘membunuh’ impian dan sorakan penyokong Marseille. Matuidi yang menjaringkan gol paling menarik pada perlawanan itu berkata;

“Kami tahu, mereka cuba mendapatkan rentak dan menekan kami sepanjang 15 hingga 20 minit pertama, tetapi kami berjaya menangani dengan baik,” katanya memetik sumber AFP.

“Ini adalah kemenangan yang menakjubkan..ia cukup menggembirakan. Sejak kecil, saya mengidamkan untuk beraksi dalam pertembungan seperti ini.

“Saya gembira tetapi kami perlu terus mara dengan cara ini. Banyak pasukan lain yang bagus, mereka berada di puncak dan memang cukup menarik melihat persaingan memburu gelaran juara liga,” katanya.

Pertahanan Marseille, Gregory Sertic juga memberi maklum balas dengan berkata; “Kami cuma bagus pada lima atau enam minit saja.

Gol kedua mereka ‘membunuh’ rentak kami. Apabila menentang PSG, memang sukar untuk bangkit,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");