Berita Hari Ini

Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura

SINGAPURA – ‘Fakta baharu’ yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabansga (ICJ) berhubung Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) adalah merujuk kepada tiga dokumen ditemukan di National Archives of the United Kingdom.

Dalam siaran media melalui laman sesawangnya pada Jumaat, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

“Dokumen berkenaan ditemukan di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017,” katanya.

Menurut ICJ, Malaysia mendakwa dokumen itu membentangkan fakta baharu bahawa para pegawai peringkat tertinggi dalam pentadbiran tanah jajahan Britain dan Singapura memperakukan bahawa Pedra Branca/Pulau Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

ICJ berkata, merujuk kepada syarat lain berhubung Perkara 61, Malaysia juga menegaskan bahawa fakta itu tidak diketahui Malaysia atau mahkamah itu ketika penghakiman mengenai kes berkenaan diumumkan kerana ia hanya ditemukan ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008.

Menurut ICJ, Malaysia memohon mahkamah itu membuat penghakiman dan mengisytiharkan bahawa permohonannya untuk menyemak semula penghakiman pada 2008 diterima dan memohon mahkamah itu “menetapkan tempoh masa untuk membuat pertimbangan tentang merit permohonan berkenaan”.

Di KUALA LUMPUR, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi berkata, pasukannya terdiri daripada para peguam dan pegawai Jabatan Peguam Negara dan beberapa profesor dan Queen Counsel terkenal yang dipilih dari United Kingdom, selain beliau sendiri memandangkan penghujahan secara lisan akan dilakukannya pada perbicaraan di ICJ di The Hague.

“Pada masa ini, kita sedang menunggu tarikh pengurusan kes dari ICJ, di mana pada akhirnya, tarikh perbicaraan akan ditetapkan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");