Sukan Hari Ini

Pulau Pinang Perlu Berubah Sebelum Parah

KEHARMONIAN dalam pasukan bersama jurulatih perlu dibentuk semula sekiranya ingin melihat Pulau Pinang kembali mencabar pada saingan Liga Super 2017 selepas tewas lima perlawanan berturut-turut.

Bekas penyerang Pulau Pinang, Abdul Gaffar Hoosen berkata, pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) perlu melihat perkara tersebut dengan segera jika tidak mahu Harimau Kumbang terus menjadi lubuk pasukan-pasukan lain untuk meraih mata.

Malah jelasnya semua pemain perlu meluahkan apa yang terbuku di hati bagi memastikan pengurusan dapat membaiki keadaan kerana pasukan tersebut masih mempunyai harapan untuk keluar dari zon penyingkiran.

“Saya percaya kini moral pemain berada pada tahap yang rendah kerana gagal membantu pasukan untuk meraih sebarang mata pada lima perlawanan Liga Super.

“Dalam keadaan ini agak sukar untuk mereka untuk terus mencabar mana-mana pasukan kerana semua tahu bahawa semua pasukan yang bertanding dalam Liga Super hebat dan mempunyai reputasi tersendiri.

“Sebagai bekas pemain, saya memahami apa yang dirasakan oleh mereka dan kini yang paling penting adalah memulihkan kembali keyakinan mereka agar mampu bangkit semula,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Abdul Gaffar berkata, FAP seharusnya sudah meletakkan sasaran ataupun persediaan yang perlu dilakukan jika Ketua Jurulatih, Ashley Westwood gagal meraih sebarang kemenangan selepas beberapa perlawanan akan datang.

Menurutnya, jika pengendali dari England itu masih gagal mencatatkan tiga mata pertama, satu langkah drastik dengan merehatkan pengendali itu terpaksa dilakukan.

“Lima perlawanan Liga Super tanpa kemenangan dan selepas ini jika terus gagal meraih tiga kemenangan, saya percaya FAP pun tahu apa yang perlu dibuat selepas ini.

“Ubahlah keadaan kerana liga baru sahaja bermula dan jika mahu tunggu sehingga separuh musim saya fikir itu sudah terlalu lewat kerana mungkin perbezaan mata dengan pasukan lain sudah jauh ketinggalan jika situasi pasukan masih seperti ini,” katanya.

Jelasnya lagi, FAP pula perlu meletakkan seorang jurulatih tempatan untuk menjadi rujukan Ashley seperti pada zaman Jacksen F Tiago yang dibantu oleh Manzoor Azwira di dalam mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.

“Sekurang-kurangnya jika ada jurulatih tempatan, dia mampu menjadi rujukan kepada pengendali import namun jika kedua-dua jurulatih import bagaimana mereka mahu mengenali pemain kerana mereka baru malah masih lagi asing dari segi budaya di negara ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");