DOHA: Tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar dikatakan telah berbelanja hampir AS$500 juta (RM2.2 bilion) setiap minggu, pembangunan projek infrastruktur utama temasya bola sepak terbesar dunia itu.
Menteri Kewangannya, Ali Shareef Al-Emadi, berkata perbelanjaan besar itu berterusan hingga 2021.
“Kami membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2.2 bilion) setiap minggu untuk projek utama.
“Pembangunan ini akan berterusan tiga hingga empat tahun bagi mencapai sasaran dan objektif menyediakan negara sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022, ” katanya memetik laporan AFP.
Qatar menyediakan peruntukan AS$200 bilion (RM887.20 bilion) untuk keseluruhan pembangunan sebagai persiapan bagi menghadapi 2022.
Emadi berkata, jumlah berkenaan meliputi bukan saja stadium tetapi projek besar dan mahal seperti jalan raya, lapangan terbang baharu dan hospital.
“Sebanyak 90 peratus kontrak untuk 2022 sudah diberikan, ” katanya.