Membawang Hari Ini

Rezeki anak-anak

Pelakon Fasha Sandha mengakui terharu di atas pemilihannya sebagai duta untuk jenama busana kontemporari Rumah Kebaya Bangsar selama setahun bermula Oktober lalu.

Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 33, bersyukur atas kepercayaan itu apatah lagi dia sendiri menggemari kebaya yang disimpulkannya masih kekal relevan digayakan apa jua majlis.

“Alhamdulillah atas amanah ini. Saya sendiri menyukai dan cenderung memilih kebaya klasik, tetapi saya memahami atas kehendak fesyen, Rumah Kebaya Bangsar perlu pelbagaikan rekaannya.

“Sebagai duta pula, saya juga ada memberikan idea untuk rekaan tetapi lebih kepada soal suai padan bersama kain dan sebagainya,” ujar Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran dan sesi ramah mesra Rumah Kebaya Bangsar, Khamis lalu.

Sambil berkongsi kegembiraan itu, heroin drama bersiri popular, Lara Aishah ini juga bersyukur kerana dipilih menjadi duta untuk beberapa produk lain.

“Saya anggap ini semua rezeki sebagai ibu tunggal dan juga rezeki anak.Benarlah kata orang, rezeki anak itu begitu besar. Malah, pendapatan saya tahun lalu yang paling tinggi pernah diterima sepanjang kerjaya.

“Saya menghargainya dan terima kasih buat semua yang masih meletakkan kepercayaan,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Fasha menjelaskan sebagai seorang pelakon yang masih aktif, dia tidak punyai waktu ideal untuk menguruskan perniagaan dan mahu memberi fokus terhadap satu perkara terlebih dahulu bagi mengelakkan terbengkalai di pertengahan jalan.

“Untuk keluarkan jenama sendiri, masa tidak cukup. Belum nampak ke arah itu. Sebab kalau keluarkan produk sendiri nanti, akan memeningkan kepala. Lebih baik saya kutip pengalaman dulu.

“Saya tak mahu buat sesuatu benda itu separuh jalan. Belajar daripada kesilapan orang lain. Itu lebih baik untuk menjadikan kita lebih peka dan berhati-hati,” terang aktres kelahiran Pulau Pinang ini panjang lebar.

Tambah Fasha, lebih baik beri komitmen kepada salunnya, Chinta Hair Salon & Beauty yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

“Untuk Chinta, saya sendiri yang turun padang sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Sehari saya akan luangkan waktu selama empat atau lima jam untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

“Malah, saya juga ada Whatsapp mereka untuk bertanya khabar dan respons perihal perkhidmatan kami. Chinta juga sudah mempunyai pelanggan tetapnya sendiri, Alhamdulillah,” katanya.

Pesanan buat bakat baru

Melihat bintang yang memulakan kerjaya glamor ini seawal usia 18 tahun, MH bertanya, apakah pesanannya kepada bakat baru yang mahu mencari tapak kukuh dalam industri seni.

Sambil memberitahu dirinya tidak berapa pandai memberi nasihat atau tips, Fasha berkata, mereka perlu tahu motif berada dalam dunia seni ini jika mahu sukses dalam kerjaya.

“Kena tahu motif masuk dalam industri. Jangan hanya kejarkan populariti kerana ia akan datang sendiri, seiring kualiti yang kita beri.

“Selebihnya, berikan komitmen terbaik dan jaga disiplin,” akhiri Fasha yang kini sibuk di lokasi filem adi wira, Badang di samping pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");