KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, undang-undang Islam sudah lama diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk oleh tokoh dan ilmuan Barat dari Vatican City.
Ujarnya, ia dibuktikan pada awal tahun 70-an, kalangan ilmuan Barat, paderi Vatican City dan tokoh Muslim di Makkah menganjurkan pertemuan ilmuan Islam dan Barat bagi membincangkan mengenai undang-undang.
Beliau yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia berkata, dalam pertemuan itu, tokoh-tokoh ilmuan Barat mengiktiraf kedudukan syariat Islam yang wajib dibuat kajian oleh dunia.
“Sehubungan itu, mereka yang masih bersikap negatif terhadap RUU 355 diminta supaya merujuk sejarah perundangan dunia yang mana undang-undang Islam dihormati oleh dunia.
“Ia dapat dilihat selepas perang dunia pertama, apabila ahli undang-undang antarabangsa mengadakan persidangan di Belanda untuk menggubal undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dunia, mereka terpaksa membaca terjemahan al-Quran dalam aspek undang-undang.
“Ini berbeza dengan pandangan mereka di Malaysia, yang hanya nyamuk-nyamuk dan agas-agas yang kecil saja,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan Himpunan RUU 355 di Padang Merbok di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, kerana itu tiada sebab untuk orang bukan Islam mahu menentang atau membantah RUU355 yang tiada kaitan dengan mereka.
“Ini sudah melanggar adab perpaduan negara. Kita minta umat Islam konsisten dan istiqamah menghormati adab perpaduan negara. Orang bukan Islam juga mesti hormat adab perpaduan negara,” katanya.