Membawang Hari Ini

Sabhi Sadhi Selesa Bergerak Sendiri

Penyanyi dan pelakon Sabhi Saddi yang sebelum ini bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Laugh Out Loud Entertainment (LOL) mengakui berasa selesa apabila bergerak dan menguruskan kerjaya sendiri.

Sabhi berkata, sejak menguruskan sendiri kerjaya pada Disember lalu segalanya berjalan lancar malah, dia berpuas hati apabila bebas menentukan hala tuju kerjaya dan membuat keputusan tanpa dibayangi pandangan individu lain.

“Kalau bernaung di bawah syarikat pengurusan, ada beberapa had dan terma yang perlu saya patuhi. Berbeza jika bergerak sendiri kerana semua keputusan di tangan saya dan rasanya lebih selesa begini,” katanya.

Kata Sabhi, sebelum menyertai LOL dia pernah menguruskan kerjaya sendiri dan banyak belajar ketika bernaung di bawah syarikat terbabit.

“Saya pernah bergerak sendiri tetapi keadaan ketika itu kucar-kacir kerana tak biasa. Selepas menyertai LOL, saya mula nampak dengan jelas apa yang perlu dilakukan dan banyak belajar.

“Kini, saya sudah bersedia dan tahu bagaimana mahu menyusun jadual kerja,” katanya, lapor Harian Metro.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan ada masalah dengan pengurusan, Sabhi pantas menafikan perkara itu dengan memaklumkan hubungan mereka sangat baik.

“Saya menarik diri daripada LOL secara baik dan tiada sebarang masalah. Saya tak salahkan pihak pengurusan dan kalau ada yang mengatakan kurang diberi perhatian, ia tidak benar sama sekali.

“Pengurusan menjaga saya dengan baik, malah amat menitikberatkan kebajikan saya. Mereka juga banyak beri peluang kerja kepada saya.

“Sebagai artis pula, saya tidak boleh tamak dengan mahu diberikan lebih perhatian kerana bukan saya seorang sahaja yang bernaung di bawah syarikat pengurusan ini,” katanya.

Berikutan sibuk menjalani penggambaran, Sabhi mengakui ada ketika mengabaikan kerjaya nyanyian.

“Kebelakangan ini saya lebih fokus berlakon berbanding nyanyian. Bukan apa, saya lihat semakin ramai penyanyi baru muncul dalam industri dan perlu diberi ruang.

“Jika sudah bosan berlakon, saya akan kembali aktif menyanyi,” katanya.

Perkembangan lain, Sabhi kini menggalas tanggungjawab baru sebagai penerbit eksekutif drama Mr Stalker yang akan menemui penonton di saluran Hypp TV, 1 Mac ini.

“Drama 30 episod ini dijayakan Shahz Jaszle, Ashraf Muslim dan ramai lagi pelakon popular.

“Memandangkan ini produk pertama saya, jadi banyak benda yang perlu difikirkan dan diberi perhatian,” katanya yang berharap drama itu menjadi permulaan yang baik buatnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");