Perak Hari Ini

Sah! Weigang Bukan Lagi Jurulatih Perak

IPOH:Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) mengumumkan penamatan kontrak jurulatih skuad Liga Super Perak, Karl Heinz Weigang berkuatkuasa hari ini.

Menurut Presidennya,Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, PAFA dan Karl Heinz Weigang telah mencapai keputusan bersama bahawa kontraknya sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bolasepak Liga Super Perak The Bos Gaurus ditamatkan berkuatkuasa 22 Febuari ini.

Ujarnya keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak mengadakan perbincangan panjang lebar dan setelah meneliti pelbagai aspek dan cadangan.

“PAFA sangat menghormati dan menghargai Karl Heinz Weigang yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan yang luar biasa kepada pasukan dan dinobatkan sebagai jurulatih lagenda Pasukan Perak The Bos Gaurus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan itu PAFA mengumumkan pelantikan Mehmed Durakovic sebagai Ketua Jurulatih yang baru Pasukan Perak The Bos Gaurus berkuatkuasa hari ini.

“Keputusan melantik Mehmed Durakovic dibuat setelah PAFA meneliti beberapa calon jurulatih tempatan
dan asing.

“Mehmed Durakovic yang berasal dari Australia berusia 52 tahun telah dipilih berdasarkan rekod beliau sebagai pemain dan jurulatih,” katanya lagi.

Ketika Mehmed bersama Pasukan Selangor sebagai pemain dan Ketua Pasukan, beliau telah menjuarai pelbagai kejohanan antaranya Piala Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 1997, Liga Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 1997, Piala Sumbangsih pada tahun 1996 dan 1997, Piala FA pada tahun 1995.

Beliau juga telah menjuarai Piala Malaysia sebagai Ketua Jurulatih pada tahun 2015 termasuk penyertaan di dalam Piala AFC bersamaPasukan Selangor.

Mehmed Durakovic merupakan bekas pemain utama Pasukan Australia yang pernah menyertai pelbagai kejohanan termasuk kempen Piala Dunia 1990 dan 1994 sebagai Ketua Pasukan.

Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan untuk pelbagai pasukan bolasepak di Australia.

Pada masa yang sama, PAFA turut berharap perlantikan Mehmed Durakovic mampu membentuk pasukan yang berkualiti dengan ilmu, pengalaman, sistem kejurulatihan dan taktikal tahap tertinggi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk Pasukan Bolasepak Liga Super Perak The Bos Gaurus bagi musim 2017.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");