BAGAN SERAI – Sebelas rumah di Kampung Parit Gabis Bawah, dekat sini, mengalami kerosakan di bahagian bumbung akibat dilanda ribut, petang semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 7 malam itu.
Seorang mangsa, Abdul Hamid Janit, 57, berkata kejadian itu berlaku semasa beliau sedang berehat di ruang tamu rumah bersama ahli keluarga lain apabila menyedari bumbung di bahagian dapur rumahnya bergoyang ditiup angin.
Bimbang akan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang, beliau segera meluru ke dapur dan bertindak memegang sebahagian bumbung bagi menahannya daripada tercabut.
“Ketika itu, saya dapat merasakan pusaran ribut semakin kuat lalu saya melepaskan pautan pada bumbung dapur untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Hamid, kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh lima minit menyebabkan keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.
“Kejadian itu juga mengakibatkan kesemua sistem pendawaian elektrik terjejas manakala siling dan perabot rumah turut rosak akibat dimasuki air hujan,” katanya sambil menambah ini merupakan kejadian kedua melibatkan rumahnya dan kejadian pertama berlaku pada tahun lalu.
– Bernama