Sukan Hari Ini

‘Sejuk Tidak Jadi halangan’

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan bahawa faktor cuaca sejuk bukan penghalang untuk mempamerkan aksi terbaik pada play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Gamba Osaka.

Tambahnya meskipun secara logiknya keadaan cuaca itu memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah namun ia perkara biasa dalam bola sepak.

“Sudah tentu faktor cuaca itu kelebihan kepada lawan kerana kita tidak biasa dengan cuaca begitu, malah kita juga tidak berlatih dan bermain dalam keadaan itu kerana Malaysia tidak mempunyai cuaca seperti di sana.

“Tetapi ia perkara biasa dalam bola sepak dan sebab itu kita berlepas tiga hari lebih awal supaya kita dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana, sekali gus membuat persediaan yang perlu,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Harimau Selatan berlepas ke Osaka, Jepun dari Lapangan Terbang Changi di Singapura pada tengah hari semalam dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai pada 6 petang (waktu Malaysia).

JDT yang bakal beraksi di Stadium Bola Sepak Suita City di Osaka, Jepun, 7 Februari ini mencipta sejarah menjadi kelab pertama negara mara ke play-off ACL selepas menewaskan Bangkok United 5-4 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan kedua kelayakan di Stadium Thammasat, Bangkok pada 31 Januari lalu.

Katanya, anak buahnya memahami tugas berat berdepan antara kelab bola sepak gergasi di Asia namun ia tidak menggugat semangat mereka untuk menang.

“Tidak kira siapa lawan JDT, kita sentiasa akan mempamerkan aksi terbaik dan sudah tentu kita mahu menang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada perubahan besar dilakukan terhadap kesebelasan utama JDT susulan aksi cemerlang anak buahnya semasa bertemu Bangkok United yang lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");