NAMA pelakon Shah Iskandar tidak perlu diperkenalkan lagi. Meskipun baru lima tahun bersama industri tempatan, namun pelakon yang berasal dari Singapura ini sudah ada tempat tersendiri di Malaysia.
Biarpun industri seni kini mempunyai lambakan pelakon baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan namun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus aktif dalam bidang seni.
Namun dari sudut lainnya, pelakon berusia 34 tahun ini dikatakan sering membawakan watak sama iaitu sebagai anak orang kaya dan berpangkat tinggi.
Apatah lagi, Shah Iskandar kini muncul menerusi drama bersiri Syurgaku Tak Sempurna arahan Michael Ang di HyppTV saluran HyppSensasi HD 116 sebagai Tengku Zarif.
Bagaimanapun jelas Shah Iskandar, biarpun dilihat sering membawakan karakter sebagai anak orang kaya, lelaki korporat, namun dia cuba mempelbagaikan watak atau karakter agar nampak berbeza dengan watak yang pernah dibawakan sebelum ini.
“Ada juga kadang kala saya mencuba watak lain, tapi mungkin penonton tak perasan.
“Kadangkala bila terpilih membawakan karakter utama pun saya bersyukur kerana kalau diikutkan sekarang, penerbit lebih cenderung mengambil pelakon yang ada rupa, berbadan sado.
“Bagaimanapun jika ada antara watak yang saya lakonkan lebih kurang seperti yang pernah dijayakan sebelum ini, saya akan ubah perwatakan.
“Untuk drama Syurgaku Tak Sempurna, Michael mahu saya nampak seperti golongan elit yang eksklusif, dalam kelas tersendiri dan maskulin.
“Jadi sepanjang penggambaran, saya sangat menjaga diet agar badan saya tampak fit dan sesuai dengan apa yang dimahukan Michael,” jelasnya memetik laporan Sinar Harian.
Bercerita lanjut mengenai drama itu, Shah Iskandar berkata, perubahan plot dan karakter yang berbeza dari drama lain membuatnya tertarik berlakon dalam drama berkenaan.
“Kalau kita lihat pada judul pun, kita sudah tertanya, kenapa syurga tak sempurna?
“Lepas itu bila penerbit (Datuk Rafiena Ezanee) ceritakan pula mengenai watak kami yang berbeza dan ada twist juga, saya jadi tertarik,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan lainnya, pelakon itu memberitahu, biarpun industri seni kini dibanjiri ramai bintang baru, namun tidak menjejaskan tawaran lakonannya.
“Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan jadual saya sehingga Jun ini sudah terisi. Ada juga tawaran yang masih dalam pertimbangan termasuk dari Singapura,” ujarnya.