DELRAY BEACH: Pemain pilihan utama, Milos Raonic menarik diri daripada aksi final Terbuka Derlray Beach, awal pagi tadi selepas mengalami kecederaan hamstring sekali gus memberi kemenangan kepada lawannya, Jack Sock.
Memetik sumber AP, Raonic mengalami kecederaan itu pada Sabtu malam apabila dia merasakan kesakitan ketika membalas pukulan Juan Martin del Potro dalam aksi separuh akhir.
Raonic cuba mengenepikan rasa tidak selesa yang dialaminya dan memilih untuk tidur sambil berharap apabila dia bangun di sebelah pagi kesakitan itu hilang.
Bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan selama dua jam, pemain berusia 26 tahun dari Kanada itu tidak dapat memanaskan badan untuk persiapan menghadapi aksi final berkenaan sebelum mengumumkan dia tidak boleh beraksi.
Situasi itu menyaksikan Sock yang juga pilihan ketiga kejohanan merekodkan gelaran kedua tahun ini dan melonjak ke ranking 18 dunia.
Terdahulu, pemain berusia 24 tahun itu turut muncul juara di New Zealand dan membantu Amerika Syarikat mara ke suku akhir Piala Davis.
Sock memegang rekod kemenangan 11-1 dalam saingan tahun ini apabila dia hanya tewas kepada Jo Wilfried Tsonga pada aksi pusingan ketiga Terbuka Australia.
Hanya Roger Federer yang menjuarai Terbuka Australia memiliki peratusan kemenangan yang lebih baik berbanding Sock tahun ini.
“Situasi ini sangat mengecewakan,” kata Raonic yang turut mengalami kecederaan ketika Terbuka Australia sehingga memaksa dia menarik diri daripada mewakili Kanada menentang Great Britain dalam aksi suku akhir Piala Davis.
“Saya sudah mengalami kecederaan dalam tiga kejohanan berturut-turut. Saya hanya tinggal satu perlawanan lagi untuk muncul juara tetapi saya tidak boleh beraksi. Ia situasi yang sukar untuk diterima.”
Sock yang mengatasi John Isner di tangga teratas ranking pemain lelaki Amerika Syarikat pada Oktober lalu, berkata situasi itu bukan sesuatu yang dimahukan kedua-dua pihak tetapi gelaran juara tetap gelaran juara.