Berita Hari Ini

Subsidi RON95 Perlu Dikembalikan

SHAH ALAM : Kerajaan sewajarnya mengembalikan semula subsidi petrol RON95 kepada rakyat, kata Penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba.

Beliau berpendapat, tindakan itu akan dapat membantu khususnya golongan pertengahan dan rendah dalam menjalani kehidupan seharian.

“Subsidi perlu diberikan kepada RON95 sahaja, tidak kepada RON97. Jika ini dapat dilakukan, ekonomi negara akan kembali stabil dalam jangka masa enam bulan.

“Kerajaan perlu melihat keadaan rakyat. Kenaikan harga petrol baru-baru ini, banyak memberi kesan terhadap kehidupan rakyat apabila kebanyakan harga barang naik secara mendadak. Ini perkembangan yang tidak sihat,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, subsidi yang ditarik semula pada 1 Disember 2014 itu perlu diberikan semula dan tidak perlu lagi mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Dengan harga RM2.30 pada Februari berbanding RM2.10 pada Januari, ia begitu terkesan buat rakyat.

Menurut beliau lagi, biarpun ada suara-suara sumbang yang pernah menyatakan pemberian subsidi hanya akan membantu golongan atasan, namun tiada salahnya kerana subsidi ini adalah pilihan.

“Jika ada yang menyuarakan pandangan mengenai ketidakwajaran pemberian subsidi, janganlah mereka guna RON95, gunakan sahaja RON97.

“Kerajaan tidak perlu memandang serius terhadap isu ini, yang penting adalah rakyat perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, subsidi yang dikembalikan ini akan membantu memulihkan ekonomi dalam masa enam bulan akan datang.

“Apabila subsidi diberikan, sudah pasti tidak ada lagi berlaku kenaikan harga barang. Harga barang penentu kepada tahap kehidupan individu.

“Andai ada juga yang mengambil kesempatan terhadap isu kenaikan harga minyak, kerajaan menerusi agensi di bawahnya atau kementerian berwajib perlu menjalankan tanggungjawab di atas penguatkuasaan agar tidak berlaku sebarang penyelewengan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Baayah turut menyarankan agar isu politik di negara ini dapat dihentikan.

“Mungkin ada yang tidak nampak, pergaduhan dalam arena politik negara sebenarnya memberi kesan terhadap ekonomi di mana pelabur asing tidak yakin untuk membuat pelaburan di Malasia.

“Setiap hari, pelbagai ‘pengkisahan’ yang berlaku antara ahli politik yang membawa kesan tidak baik terhadap ekonomi.

“Seharusnya dalam keadaan negara dilanda dengan pelbagai masalah ekonomi, kerajaan dan semua pihak berganding bahu membantu memulihkan ekonomi.

“Pelaburan asing di negara ini merupakan aspek penting ekonomi negara. Ia menunjukkan, jika ada penawaran ringgit, bermakna ekonomi boelh menjadi kukuh. Namun ia bergantung pada kestabilan negara ini.

“Kerana itu, saya tekankan, pada saat ini, tidak perlu ada pertelingkahan dalam politik, ia tidak memberi kesan yang baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");