IPOH : Menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Perak tahun hadapan, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mengadakannya di setiap daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan rakyat di negeri ini merasai kemeriahan sukan dwi-tahunan itu.
“Untuk pertama kalinya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahukan agar ianya (SUKMA) diadakan di semua daerah di negeri Perak.
“Walapun dari segi logistiknya ia merupakan satu cabaran kepada kita dan pasukan-pasukan yang bertanding, tetapi beliau mahukan rakyat Perak merasai SUKMA.
“Kalau kita buat di Ipoh sahaja, orang-orang di luar bandaraya ini mungkin tidak merasai kemeriahan SUKMA, jadi kita mengambil ketetapan sekurang-kurangnya satu jenis sukan di setiap daerah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Mesyuarat Agung Tahunan MBN Perak kali ke-20 di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, hari ini.
Mengulas mengenai kemudahan untuk setiap acara sukan, Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri tidak mengambil pendekatan membina venue baharu, tetapi menaiktaraf infrastruktur sedia ada di setiap daerah dan ianya telah bermula.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada ketika ini, proses menaiktaraf beberapa lokasi sukan telah rancak bermula termasuklah pembinaan kompleks renang dan Stadium Indera Mulia telah ditutup bagi tujuan menaiktaraf.
“Projek-projek tidak ada yang tertunda kecuali di Stadium Perak yang dianjakkan pelaksanaannya.
“Bagaimanapun, ada kerja-kerja sudah dimulakan yang tidak mengganggu dan mendatangkan masalah risiko keselamatan penonton di Stadium Perak,”katanya.