Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Rasmi Kompleks Pentadbiran Kampar

KAMPAR : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar (MDKpr), di sini, hari ini.

Kompleks berkenaan siap dibina sepenuhnya pada Disember 2004 dengan kos keseluruhan sebanyak RM6.9 juta.

Turut berangkat ke majlis perasmian tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pembinaan kompleks pentadbiran berkenaan disifatkan sebagai satu keperluan rentetan daripada perluasan kawasan pentadbiran MDKpr.

“Sebelum ini, kerajaan negeri ada buat perluasa kawasan dimana bagi daerah Kampar, ia meningkat kepada 676.9 hektar setelah diwarta secara rasmi pada 8 Oktober 2015.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kampar yang dahulunya dikenali sebagai Kinta Selatan merupakan daerah ke-10 di negeri Perak setelah diisytihar secara rasmi oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 21 Mei 2009.

“Sejak itu, kerajaan negeri dan kepimpinan  daerah berazam untuk membangunkan daerah Kampar ini agar mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan berdasarkan potensi tingginya sebagai bandar yang semakin berkembang maju di Perak,”katanya.

Jumlah penduduk di daerah ini dianggarkan akan mencapai 125,000 orang pada tahun ini berdasarkan unjuran kajian rancangan tempatan yang dibuat pada tahun 2012, kata Nolee Ashilin.

“Pembangunan di seluruh pelusuk negeri termasuk di Kampar telah semakin rancak termasuk pembangunan bandar permotoran pertama Asia Tenggara iaitu T-City di Gopeng bernilai RM15.1 bilion sedang rancak didirikan di atas kawasan seluas 435 ekar.

“Bandar baru Kampar pula terus berkembang sebagai kawasan kediaman. Dua terminal pengangkutan bersepadu atas inisiatif kerajaan dan swasta juga sedang giat dimulakan pembinaannya sebagai memenuhi keperluan infrastruktur penduduk daerah ini.

“MDKpr juga komited memelihara alam sekitar dengan pembangunan inisiatif kejiranan hijau mereka sebagai kelangsungan usaha melahirkan perbandaran yang lestari,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar di Majlis Daerah Kampar.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Yang Dipertua MDKpr, Khairul Amir Mohamad Zubir, barisan Exco dan kepimpinan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");