Jenayah

Suspek kes judi maut ketika serbuan

ALOR SETAR: Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung dalam satu serbuan di sebuah bangsal di Kampung Titi Keling, dekat Tandop, di sini, petang semalam.

Lelaki berusia 54 tahun itu dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sejurus ditahan sepasukan anggota polis dalam serbuan itu.

Ketika ditahan, lelaki berkenaan bersama enam yang lain dikatakan sedang leka berjudi dan masing-masing cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata anggota bertugas segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan sebelum pasukan paramedik yang tiba mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Hasil semakan, lelaki yang meninggal dunia itu disahkan mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes judi dan siasatan juga mendapati tiada pergelutan berlaku ketika proses penahanan atau kecuaian anggota yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Mohd Rozi berkata, hasil serbuan itu pihaknya menahan enam lagi suspek berusia antara 40 hingga 50 tahun dan merampas wang tunai RM916 serta beberapa peralatan yang digunakan untuk tujuan judi.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");