Jenayah

Syabu: Suami, isteri dan tiga warga asing ditahan

LAHAD DATU – Polis menahan sepasang suami isteri dan tiga lelaki warga asing serta merampas dadah seberat 259.61 gram dalam empat serbuan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas pasangan suami isteri berumur 56 dan 52 tahun sekitar 1.30 tengah hari di Jalan Silam pada 1 Januari lepas.

Polis menahan sebuah kenderaan jenis Kia Sephia dinaiki pasangan suami isteri itu dan menjumpai satu beg di bawah kerusi pemandu mengandungi dua peket plastik berisi syabu dengan anggaran berat 96.25 gram bernilai RM8,000, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata, dalam serbuan kedua, polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 36 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Membatu Jalan Tungku pada 4 Januari lepas.

Menurutnya dalam serbuan kira-kira 1.10 tengah hari itu, polis merampas dua bekas plastik di lantai ruang tamu yang di dalamnya masing-masing mengandungi sembilan dan 20 peket kecil berisi syabu dengan anggaran berat 59.06 gram bernilai RM4,000.

Katanya polis juga menjumpai 30 gulung kertas timah di dalam bekas tersebut.

Beliau berkata polis menangkap seorang lagi lelaki warga asing berumur 31 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kenali, Felda Sahabat 16 pada 21 Januari lepas.

“Pemeriksaan lanjut satu beg disandang lelaki itu, polis menjumpai lapan peket plastik kecil dan 41 tiub plastik lutsinar mengandungi syabu dianggarkan seberat 50.05 gram bernilai RM4,000,” katanya.

Menurutnya turut dijumpai di dalam beg sandang itu ialah 50 gulung kertas timah, satu penyedut minuman yang diubah suai, satu gunting, kotak rokok jenama premium dan satu pemetik api berwarna kuning untuk digunakan menghisap syabu.

Hamzah berkata tangkapan keempat membabitkan seorang lelaki warga asing berumur 22 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Singgah Hati, Jalan Tengah Nipah pada jam 12.50 tengah hari, Selasa lepas.

Katanya pemeriksaan lanjut, polis menjumpai satu sampul surat di poket seluar lelaki itu yang mengandungi satu peket plastik cerah berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat 54.25gram bernilai RM4,000.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");