Sukan Hari Ini

Tak Mahu Diterajui Orang Politik

Kuala Lumpur : Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin ingin Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) diterajui individu berpengalaman untuk melakukan perubahan besar organisasi dan bukannya dalam kalangan orang politik.

Dalam kenyataan semalam, beliau menyatakan tujuh perkara perlu dilaksanakan dalam FAS dengan pemilihan barisan Exco baru dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 23 Februari ini sebagai permulaannya.

“Saya mendapat banyak sokongan berhubung kenyataan terbuka mengenai FAS. Semua pihak menyokong FAS perlu dirombak. Saya percaya isu ini bukan mengenai saya tapi untuk membentuk pengurusan pasukan yang cekap dalam memberi fokus terhadap pembangunan bola sepak serta kepentingan penyokong dan bukannya kepentingan segelintir pihak.

“FAS memerlukan individu berpengalaman untuk melakukan perubahan ini sambil disokong pasukan yang cekap dan berdedikasi bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya memetik laporan Arena Metro.

Terdahulu dilaporkan FAS bakal melakukan rombakan besar-besaran dalam barisan kepimpinannya apabila Exco menerima peletakan jawatan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta bersetuju mengadakan EGM.

Tengku Amir dikatakan antara calon pilihan mengambil alih kerusi ditinggalkan Menteri Besar Selangor itu namun beliau masih belum menyatakan pendirian dengan tarikh pencalonan hari ini.

Dalam melakukan perubahan itu Tengku Amir dan ayahandanya Sultan Sharafuddin menggariskan tujuh perkara yang perlu dilakukan FAS, antaranya adalah presiden tidak boleh memegang jawatan lebih dari dua penggal (satu penggal tidak lebih empat tahun). Kriteria bagi presiden adalah tidak boleh terbabit secara langsung dalam politik.

Empat pegawai Exco tertinggi dan Setiausaha Agung mesti dilantik Presiden FAS dan jawatan itu tidak boleh disandang individu sama lebih dari dua penggal berturut-turut dan barisan ahli Exco baru yang dilantik sekurang-kurangnya 60 peratus muka baru serta ahli gabungan yang boleh mengundi mesti bergerak aktif.

Tambah Tengku Amir, Selangor tidak boleh hanya mengejar kejayaan domestik sebaliknya mensasarkan kejayaan lebih besar dan semua ini boleh dicapai jika tujuh perkara utama itu dilaksanakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");