Isu Panas

Tanggapan Pas Terhadap PKR Tak Tepat

KOTA BHARU : Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir menegaskan bahawa tanggapan Pas terhadap parti itu yang dilabelkan kini seperti duri dalam daging dalam kerjasama pembangkang adalah tidak tepat sama sekali.

Beliau berkata, pihaknya mengakui Pas sebagai satu parti yang telah lama ditubuhkan dan mempunyai jentera akar umbi sendiri.

Namun katanya, perlu diingati realiti politik di Malaysia, untuk menjadi pemerintahan satu-satu pihak itu perlu memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

“Pada hemah saya kalau kata PKR duri dalam daging memang istilah ini tidak sesuai untuk ditujukan kepada PKR. Kerjasama dengan parti-parti diperlukan.

“Adakah kerana mengamalkan politik realistik ini, iaitu Keadilan sanggup bekerjasama dengan parti-parti lain yang mempunyai matlamat sama untuk memperjuangkan isu rakyat yang terbukti gagal dimainkan oleh pemerintah semasa, kami dikatakan duri dalam daging ? Rasanya amat tidak tepat,” katanya, lapor Sinar Harian.

Katanya mengulas dakwaan akar umbi Pas Selangor yang menganggap PKR kini seperti duri dalam daging dan menggesa hubungan kedua-dua parti itu dikaji semula serta sudah tiba masanya Pas bersendirian.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata, PKR sama sekali tidak mencampuri urusan dalaman Pas.

“Bersama-samalah tumpukan perjuangan kita ke arah menzahirkan pemerintahan yang betul-betul mengutamakan kepentingan agama bangsa dan negara,” katanya.

Dalam soal tahaluf siyasi juga sebelum ini pimpinan tertinggi Pas menegaskan sehingga kini hubungan kedua-dua parti itu masih kekal dan sebarang keputusan ditentukan pada muktamar April ini.

Bagaimanapun, masih ada gesaan daripada akar umbi untuk memutuskan kerjasama dengan PKR.

“Mengikut apa yang saya faham Pas mempunyai cara tarbiah ahli yang amat baik.

“Pasti tidak timbul soal menyanggah keputusan pimpinan mereka. Kalau ada ahli yang menyanggah keputusan pimpinan tertinggi, ini menunjukkan ada masalah melanda mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");