Jenayah

Tekong Bot Katamaran Dipenjara 6 Bulan

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang tekong bot atas kesalahan membawa penumpang melebihi muatan yang dibenarkan.

Memetik sumber Berita Harian, Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Sharezza Salian, 26, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang juga tekong bot katamaran didakwa melakukan kesalahan itu di Jeti Pondok Hentian Rehat, Lorong Mustapha Tuah, Kampung Tanjung Aru Lama di Kota Kinabalu, pada jam 9.15 pagi.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar.

Sharezza yang berasal dari Kampung Pasir Putih, Pulau Gaya, tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan.

Hakim yang menerima pengakuan bersalah tertuduh kemudian memutuskan hukuman penjara enam bulan daripada tarikh ditangkap.

Sementara itu, tiada pengakuan diambil terhadap tertuduh kedua iaitu pemilik bot jenis katamaran, Leong Vin Jee, 44 yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

Sehubungan itu Ainul Shahrin menetapkan sebutan semula kes pada Isnin ini di Mahkamah Majistret.

Vin Jee bagaimanapun dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan sementara pasportnya diambil.

Sabtu lalu, sebuah bot katamaran dinaiki 31 orang termasuk tekong, dua kru dan 28 pelancong warga China dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari jeti Tanjung Aru di sini, selepas tidak tiba ke destinasi pada hari yang sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");