Sukan Hari Ini

Terengganu bangkit dari dua kekalahan

PASUKAN Terengganu berjaya mencipta kebangkitan selepas mengetepikan cabaran Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selepas bergelut dengan dua kekalahan sebelum ini, pasukan tuan rumah bermula garang dengan gol pembukaan seawal minit keempat apabila Federico Matias Falcone bijak memanfaatkan ‘bola muntah’ percubaan Issey Nakajima yang gagal dikeluarkan penjaga gawang pelawat untuk jaringan pertama skuad Penyu.

Tersentak dengan jaringan awal itu, pasukan pelawat cuba melakukan beberapa percubaan ke gawang gol Terengganu, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Sebaliknya, kem tuan rumah nyaris mengukuhkan kedudukan pada minit ke-27 tetapi rembatan Turaev Lutfulla sekadar melambung tinggi.

Lima minit selepas itu pelawat yang melakukan serangan kilat hampir menemui jaringan penyamaan menerusi percubaan merbahaya Guiherma De Paula Lucrecio dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis Muhamad Syazwan Yusof.

Begitupun usaha pelawat dalam merapatkan kedudukan akhirnya tertunai apabila Naim Nazmi Zainudin berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35 menjadikan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan kem tuan rumah sekali lagi berada di depan menerusi Turaev Lutfulla pada minit ke-52 hasil sepakan percuma terus menerjah jaring.

Sepuluh minit berselang skuad Penyu berpeluang untuk melebarkan jaringan namun tandukan kapten pasukan, Issey Nakajima gagal menemui pintu gol.

Pelawat yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan akhirnya terpaksa berputih mata dengan kekalahan kedua berturut-turut selepas bertemu PDRM sabtu lalu apabila skuad Penyu terus menggenggam tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri sehingga tamat perlawanan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");