Berita Hari Ini

Tiada cadangan pelepasan nyamuk ‘Wolbachia’ di seluruh negara – Subramaniam

IPOH: Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk melaksanakan kaedah pelepasan nyamuk mengandungi mikro-organisme ‘Wolbachia’ di kawasan yang dikenal pasti dilanda wabak denggi di seluruh negara, kata menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata projek perintis itu yang kini dilaksanakan di Selangor melibatkan kawasan di Seksyen 7, Shah Alam dan AU2, Keramat, masih dalam tempoh percubaan untuk memahami tingkah laku spesies nyamuk penyebar penyakit sama ada ia boleh mengurangkan kes demam denggi di negara ini.

“Sebaik sahaja kami memperoleh keputusan dan keberkesanan penggunaannya, barulah kami boleh memutuskan sama ada untuk melaksanakan kaedah ini di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Buntong, di sini hari ini.

Beliau berkata kaedah itu akan diteruskan sekiranya didapati berupaya mengawal demam denggi terutamanya di kawasan yang merekodkan wabak berkenaan.

Dr Subramaniam berkata wabak denggi diramal meningkat sekitar Julai atau Ogos tahun ini.

Beliau berkata Selangor merekodkan kes demam denggi paling tinggi iaitu 7,355 kes termasuk 12 kematian bagi tempoh 1 Jan hingga 2 Feb lepas dan diikuti Johor (2,379 kes).

Mikro-organisme ‘Wolbachia’ diperkenalkan pada Januari tahun lepas oleh Institut Penyelidikan Perubatan dengan kerjasama Lancaster University, United Kingdom.

Tahun lepas, Bernama memetik Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai berkata penggunaan mikro-organisme ‘Wolbachia’ yang disuntik ke dalam telur nyamuk aedes ‘aegypti’ sebagai kaedah untuk menghalang penularan virus denggi di kalangan manusia.

Dr Noor Hisham berkata nyamuk aedes yang terhasil daripada telur yang disuntik itu tidak membawa virus denggi dan seterusnya menghalang penyebaran denggi. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");