Berita Hari Ini

Tidak Berbohong

Johor Bahru: “Tidak timbul isu saya berbohong dan kutipan amal ini bukan untuk kepentingan peribadi atau mengisi poket sendiri, tetapi membantu mengumpul dana madrasah di negara kami,” kata Ainul Haq, 27, ketika ditemui bersama tabung derma di sebuah masjid di sini, kelmarin memetik sumber Harian Metro.

Dia yang selesa menggelar diri sebagai Ustaz Ainul berkata, bumi Malaysia tidak dianggap asing, malah menjadi lubuk kepada madrasah di negaranya mendapatkan sumbangan ikhlas terutama bagi keperluan membeli makanan dan keperluan harian.

“Alhamdulillah, sudah dua kali saya datang ke sini, bahkan kunjungan kira-kira dua tahun lalu membolehkan saya membawa derma berkenaan untuk keperluan madrasah.

“Buktinya, saya membawa nama negara ini untuk dikongsi bersama kira-kira 500 penuntut sekolah tahfiz di Madrasah Tahfiz Quran Kashmir, Pakistan,” katanya yang membawa bersama sebuah kotak tertera gambar sumbangan disalurkan kepada madrasah itu, di sini.

Dia turut mengakui sikap dermawan masyarakat tempatan mempengaruhi kehadirannya sekali lagi pada Januari lalu.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mencari sedikit dana bagi pembangunan madrasah di negara asal kami.

“Terus terang saya katakan, masyarakat Muslim di negara ini sangat baik dan pemurah bahkan tidak berkira dalam menyalurkan sumbangan,” katanya.

Mengakui bergerak secara solo Ustaz Ainul berkata, sebaik mungkin dia tidak mahu melanggar undang-undang di negara ini, biarpun berdepan sedikit masalah dengan tindakannya mengutip derma di kawasan masjid.

“Biasanya saya akan mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan masjid dan saya bersyukur kerana diberi ruang untuk berbuat demikian.

“Meskipun tidak banyak, sekurang-kurangnya hasil derma diperoleh sehari mencecah kira-kira RM200,” katanya.

Katanya, sumbangan diberikan tidak diketahui jumlahnya kerana akan disalurkan kepada pihak pengurusan madrasah.

“Apa dapat saya buktikan di sini, saya bersama-sama menyerahkan bantuan berupa makanan dan kitab diperlukan pelajar tahfiz di madrasah itu.

“Kini, dengan jumlah pelajar menjangkau kira-kira 500 orang, maka keperluan untuk madrasah itu melaksanakan aktiviti harian semakin meningkat, selain memerlukan dana besar,” katanya.

Ustaz Ainul yang ditemui bersama kotak derma turut dilihat membawa bersama beberapa keping gambar ketika dia bersama beberapa individu lain menyalurkan derma kepada madrasah di negaranya, malah tidak bimbang untuk berkongsi perkara itu.

Bahkan sekeping gambar turut menunjukkan dia menyampaikan buku serta hidangan nasi, selain menunjukkan penghargaan menerusi paparan gambar tertera derma wakaf makanan dari Malaysia.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan masjid di sekitar bandar ini mendapati, kawasan masjid masih menjadi tumpuan golongan tertentu untuk mendapatkan bantuan derma untuk aktiviti rumah anak yatim dan sebagainya.

Tidak kurang ada juga golongan kurang bernasib baik dengan berkerusi roda mengharapkan ihsan orang ramai terutama dalam kalangan jemaah ketika bersolat Jumaat, kelmarin.

Muka depan akhbar ini kelmarin mendedahkan kegiatan memungut derma tanpa kebenaran pihak berkuasa agama yang semakin berleluasa di luar masjid ketika solat Jumaat terutama membabitkan masjid di bandar besar yang dikhuatiri kesahihannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");