Berita Hari Ini

Tidak Boleh Mengemis Di Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka telah menguatkuasakan larangan mengemis daripada orang ramai di negeri itu termasuk kepada mereka yang menjaja barangan atas nama rumah kebajian dan pertubuhan keagamaan.

Amaran itu, katanya, turut digunapakai terhadap warga asing yang meminta derma untuk tujuan amal.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron, mereka yang ditangkap berbuat demikian kini boleh dihukum.

Ujar Idris lagi, undang-undang sedia ada dibawah Enakmen Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Hal Ehwal Islam Melaka akan digunakan untuk mengheret mereka yang mengemis di jalanan ke mahkamah.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri itu mempunyai satu pangkalan data mengenai mereka yang menerima bantuan kewangan bulanan dan mereka yang meminta derma di jalanan dianggap menyalahi undang-undang.

“Mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap diberi bantuan bulanan, jadi kami merasakan tiada keperluan untuk sesiapa sahaja beralih kepada perbuatan meminta sedekah.

“Kami juga mahu membersihkan negeri ini daripada golongan meminta sedekah dengan cara menjaja barangan atas nama rumah kebajikan atau pertubuhan keagamaan,” katanya, lapor mstar.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar kewujudan sindiket mengeksploitasi kanak-kanak dengan meminta mereka mendapatkan sedekah daripada orang ramai termasuk kawasan tumpuan pelancong.

Jelas Idris, terdapat juga aduan kanak-kanak digunakan untuk memaksa orang ramai membeli buku agama di luar perkarangan bank, restoran dan kawasan tumpuan orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meminta bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk menangkap pesalah tersebut dan mengheret mereka ke mahkamah.

Katanya, pengawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri juga akan mengesan mereka yang menjaja barangan keagamaan.

Idris berkata, undang-undang itu juga membabitkan mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk menjual barangan, kononnya bagi membiayai pertubuhan amal.

“Kami juga mendapat laporan bahawa wang yang diperolehi kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam akaun individu yang dipercayai dalang kepada sindiket tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");