Berita Hari Ini

TN50 perlu penglibatan semua kaum

SEREMBAN – Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang merupakan visi baru Malaysia, memerlukan penglibatan dan pandangan semua kaum daripada semua peringkat, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, agenda besar negara itu tidak akan berjaya sekiranya ia hanya meraih penglibatan satu kaum sahaja.

“TN50 itu memang pun disediakan kepada generasi akan datang. Kalau kita masih dengan acuan hari ini, ia tidak boleh menjadi satu polisi yang mendapat sokongan masyarakat muda.

“Jadi, kita perlu mendengar suara-suara orang muda. TN50 itu tidak akan berjaya jika ia hanya mendapat pandangan dan sokongan satu kaum sahaja tetapi dia kena mengambil kira pandangan semua kaum barulah kita boleh mendapat satu formula yang betul-betul membawa kita maju dalam masa 30 tahun akan datang,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

TN50 yang dilancarkan pada 19 Jan lepas, digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Mengulas lanjut, Chong berkata TN50 memerlukan satu wadah untuk semua kaum membincangkannya secara bersama.

“Ini adalah platform yang sangat penting, jika kita boleh membincangkan perkara yang paling sensitif mungkin kita boleh menghasilkan satu formula yang paling baik untuk membentuk Malaysia yang kita inginkan.

“Saya harap perkara ini dapat dilaksanakan tetapi secara tertutup dan bukannya secara lintas langsung,” katanya.

Chong berkata Pemuda MCA akan memainkan peranan mengumpul aspirasi daripada orang muda di kalangan masyarakat Cina untuk dimasukkan dalam TN50.

“Kita telah berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan muda Cina bahawa kita tak boleh terpinggir daripada memberikan cadangan dan pandangan.

“Jadi kita (Pemuda MCA) akan adakan dialog, perbincangan, seminar untuk kita mengumpul dan membawa aspirasi serta pandangan masyarakat Cina ke dalam TN50 ini,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");