Walaupun gembira anak buahnya menewaskan kelab Perancis, Saint Etienne 3-0 di Old Trafford, awal pagi semalam. ternyata pengurus Manchester United, Jose Mourinho belum cukup selesa dengan kemenangan itu.
Mourinho menyifatkan kemenangan itu belum cukup selesa untuk pasukannya mara ke kelompok 16 pasukan terbaik dalam aksi timbal balik nanti.
“Kemenangan tiga gol tanpa balas adalah keputusan yang baik untuk kami terutamanya selepas beraksi buruk pada separuh masa pertama.
“Walau bagaimanapun perjuangan kami belum selesai dan tugas getir bakal menanti dalam perlawanan kedua di tempat lawan nanti.
“Saya sudah melalui banyak pengalaman ‘gila’ yang mana pasukan kendalian saya sebelum ini pernah mencatat kemenangan unggul di perlawanan pertama tetapi dikejutkan di perlawanan timbal balik.
“Walau apapun kami perlu bertahan dengan baik di sana dan harus mencari peluang menjaringkan gol untuk memberi lebih tekanan kepada mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.
Perlawanan timbal balik di markas Saint Etienne dijadual berlangsung minggu hadapan, 22 Februari 2017.