Membawang Hari Ini

Usah saling tuding jari

Insiden yang mengorbankan lapan remaja akibat dirempuh kereta Nissan Almera di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Kampung Mahmoodia, Johor Bahru, jam 3 pagi, Sabtu lalu mendapat perhatian banyak pihak.

Dalam kejadian itu, semua mangsa berusia antara 13 hingga 19 tahun dikatakan berkumpul di simpang bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah dan kemudian berbasikal beramai-ramai ke lampu isyarat berhampiran Hotel Thistle di Jalan Sungai Chat.

Barangkali apa yang berlaku itu pengajaran kepada ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak dan memberi lebih perhatian.

Ketika ibu bapa mangsa dirundung duka, mereka dikecam dan dihujani pelbagai komen negatif di media sosial.

Memetik sumber laporan RAP Harian Metro tiga selebriti terkenal tanah air iaitu Datuk Aznil Nawawi, Shukri Yahaya dan Nadzmi Adhwa pula tampil berkongsi pandangan mengenai perkara ini.

Datuk Aznil Nawawi

“Saya berdukacita dengan insiden ini dan berharap rakyat Malaysia jadikan ia sebagai pengajaran.

Tidak dinafikan, kalau ke Johor Bahru saya selalu nampak kanak-kanak bermain basikal dan adakalanya pada lewat malam atau awal pagi.

Pernah juga saya berhenti dan berbual dengan mereka sambil menasihati supaya pulang awal dan jaga keselamatan diri. Bagaimanapun, inilah uniknya bandar raya Johor Bahru dan senario ini tidak dapat kita lihat di bandar lain.

Aktiviti berbasikal amat diminati dan terkenal di Johor. Cuma pihak berkuasa perlu fikirkan cara kanak-kanak dan remaja boleh beriadah di tempat yang selamat manakala waktu pula biarlah bersesuaian.

Seperkara lagi, kelab basikal wajar diwujudkan dan ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka. Jadi segala aktiviti lebih terurus dan spesifikasi ubah suai basikal juga terkawal.

Dalam keadaan sekarang tiada guna menuding jari atau menyalahkan sesiapa kerana ia tidak memberi jalan penyelesaian atau membantu minat mereka.

Kalau lihat skil mereka, saya percaya dengan latihan profesional ada di antaranya boleh jadi atlet.”

Shukri Yahaya

“Saya harap masyarakat tidak terus memberi tekanan kepada ibu bapa dan keluarga remaja terbabit. Kita seharusnya memberi sokongan kepada mereka dan nasihat yang membina dengan cara sesuai tanpa mengguris hati.

Saya sendiri terkilan apabila membaca komen menghentam keluarga mangsa di laman sosial. Mengapa perlu ditambah tekanan yang ada sedangkan mereka masih berduka apabila kehilangan insan paling disayangi?

Diharap kita semua jadikan insiden ini sebagai pengajaran dan sentiasa muhasabah diri bagi mengelak perkara sama berulang pada masa hadapan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka terus kuat serta tabah dengan ujian yang menimpa.”

Nadzmi Adhwa

“Barangkali kejadian yang menimpa ini adalah peringatan daripada Allah kepada semua ibu bapa supaya memantau pergerakan anak di luar rumah dan lebih tegas dalam mendidik.

Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa memberi sepenuh perhatian terhadap anak. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak keluar, ke mana mereka pergi dan jam berapa wajib berada di rumah.

Soal nyawa dan keselamatan anak tidak boleh dipandang remeh. Jangan biarkan anak berasa terabai kerana mereka cenderung melakukan perkara di luar jangkaan kita.

Kepada anak pula, fikirlah masa depan dan perasaan ibu bapa. Dengar nasihat ibu bapa dan muliakan mereka.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");