Membawang Hari Ini

YA1M Cuba Dapatkan Bayaran Royalti Ben Nathan

KUALA LUMPUR: Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) akan berusaha bagi membantu Ben Nathan menyelesaikan isu bayaran royalti terhadap empat album studio dan dua produk kompilasi yang diterbitkan syarikat rakaman Guntur Records pada era kegemilangannya.

Memetik sumber BH Online, Presiden YA1M, Datuk DJ Dave, isu bayaran royalti Ben yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati perlu diperhalusi dengan syarikat rakaman terutama dalam aspek terma perjanjian yang dimeterai.

“Kita akan cuba menjejaki wakil pengurusan Syarikat Guntur Records atau pihak berkaitan bagi mendapatkan perincian. Apa yang saya tahu, label itu sudah lama ditutup, tapi pasti ada pihak yang tahu mengenainya.

“Isu mengenai bayaran royalti ini belum dapat dipastikan lagi dengan keluarga Ben. Kita juga perlu menyemak apakah ada perjanjian ditandatangani Ben ketika itu,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga prihatin dengan masalah yang dihadapi Ben dan penyanyi itu berhak menikmati hasil titik peluhnya dalam industri muzik.

“Kita ingin membantu Ben mendapat haknya,” katanya. Sebelum ini, anak saudara Ben, Suguna Selva Raju, 30, membangkitkan isu bayaran royalti kepada bapa saudaranya itu berikutan selama ini tidak ada pihak yang tampil membantu mereka.

Suguna mendakwa, mereka sekeluarga tidak tahu menahu soal kewangan Ben berikutan bapa saudaranya itu kurang berkongsi hal peribadi dan kerjaya.

“Kami sekeluarga tiada masalah untuk menjaga dan menampung perbelanjaan harian Pakcik Ben. Namun, royalti album itu adalah hak dia selepas bertahun-tahun mengabdikan diri dalam dunia nyanyian.

“Dengan hasil nyanyiannya dulu, kami pasti tentu Pakcik Ben lebih gembira apabila dapat menikmati hasil keringatnya. Dulu dia ada sebuah kereta tapi tidak pasti siapa yang mengambilnya selepas dia sakit,” katanya.

Ben yang mencetuskan kontroversi selepas klip video memaparkan dirinya hidup sebagai gelandangan tersebar, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, sejak Khamis lalu bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan mental.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");