PETALING JAYA: Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang baharu menyertai DAP diingatkansupaya tidak bersikap umpama ‘primadona’.
Selain itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang turut berharap Zaid dapat bertahan lama dalam parti itu.
“Ramai bertanyakan soalan kepada saya sama ada Zaid akan menyertai DAP dan berapa lama beliau akan bertahan.
“Saya kenal Zaid sudah lama. Saya tahu dia berfikiran politik. Beliau kena memainkan peranan sebagai ‘team player’ (satu pasukan) dan bukannya primadona,” katanya, lapor mstar.
Beliau berkata demikian selepas Zaid secara rasmi mengumumkan penyertaannya dalam DAP di kediamannya di sini, Selasa.
Majlis turut disaksikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kit Siang berkata, beliau percaya semua pihak pastinya mempelajari sesuatu daripada pengalaman lalu.
“Jadi, saya percaya Zaid boleh menjadi satu pasukan dan bukannya primadona,” katanya.
Beliau menambah, peranan sebagai satu pasukan itu antara lain dapat memperkukuhkan DAP, sekali gus membantu mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik di bawah Pakatan Harapan.
Penyertaan Zaid dalam DAP merupakan yang ketiga selepas beliau meninggalkan Umno pada 2008.
Zaid sebelum ini juga pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).