Sukan Hari Ini

Zamri Minta Pemain Kekal Fokus, Beri Komitmen

JURULATIH Jeonsa, Zamri Ismail menggesa pemainnya kekal fokus meneruskan misi pasukan apabila mara ke suku akhir Liga Bola Sepak Rakyat Wanita (LBRW) 2017 secara timbal balik mulai 17 hingga 19 Februari ini.

Katanya, dua kemenangan 1-0 dan 2-0 ke atas Tanjung Malim dan Sri Sador Glow Glowing FC aksi Kumpulan C minggu lalu, juga wajar menjadi perangsang menjelang pertemuan menentang naib juara Kumpulan D, Universiti Sains Malaysia (USM) FC Kota Bharu.

“Pasukan kena kekal fokus dan berikan komitmen serta bermain menurut arahan. Misi menjuarai kumpulan ini sudah tercapai tetapi persediaan mental dan fizikal ke saingan kalah singkir kena lebih mantap.

“Kami agak tertekan ketika menentang Tanjung Malim, mungkin sebab itu aksi sulung sebenar tetapi dengan Sri Sador Glow Glowing, permainan Jeonsa diakui bertambah baik.

“Inilah momentum permainan dan semangat juang yang kami mahukan daripada pemain (menang di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur dan kini,) kami tidak kisah dengan siapa pun lawan suku akhir nanti (USM FC),” katanya, lapor Sinar Harian.

Jeonsa mempunyai rekod prestasi lebih baik berbanding USM FC yang hanya terselamat ke suku akhir dengan kemenangan perlawanan terakhir Kumpulan D ke atas Kerian (Perak) 1-0 di Universiti Teknologi Mara, Arau.

Namun Zamri turut menagih kerja keras berterusan daripada skuad pimpinan Noor Azizah Shahrani itu terutama dalam memperbaiki dan menyudahkan sebarang peluang yang terhidang di depan gawang lawan.

“Dia sudah menjalankan tugasnya dengan baik sebagai kapten (ketika menentang Sri Sador Glow Glowing, Ahad lalu) tetapi jika begitu banyak peluang yang diperoleh, tidak dapat dijaringkan pasukan, pasti kami sukar mara sejauh ini,” katanya.

Noor Azizah yang juga bek kanan, turut muncul wira gol tunggal Jeonsa menentang Tanjung Malim (3 Februari lalu) manakala Norashikin Azman dan Intan Nur Ameelia Amran membolosi gawang Sri Sador Glow Glowing menerusi tandukan dan rembatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");