Sukan Hari Ini

Zulhamizan Puji Kebangkitan The Seagulls

KUANTAN: Pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria memberi pujian terhadap kebangkitan pemainnya pada saat akhir bagi memastikan kemenangan 3-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dengan semangat juang tinggi walaupun ketika ketinggalan satu gol, pemainnya berjaya menyerap tekanan itu untuk mengutip tiga mata di laman sendiri.

Katanya, kejayaan itu membuktikan skuad kendaliannya mampu memberi cabaran jika mereka bermain dengan semangat berpasukan tinggi yang membuahkan hasil.

“Saya akui pada separuh masa pertama pemain gagal beraksi baik dan berjaya bangkit pada babak kedua dengan corak permainan lebih baik.

“Apabila ketinggalan, pemain tidak mudah mengalah dan kebangkitan yang dilakukan mereka pada 10 minit terakhir perlawanan membantu The Seagulls mengutip tiga mata.

“Saya berterima kasih kepada pemain yang memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan mencatat kemenangan pertama selepas dikecewakan PKNP FC pada 26 Januari lalu,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Pada perlawanan itu, pemain gantian The Seagulls, Nabilah Khan Razali muncul wira dengan menjaringkan dua gol dan satu gol lagi dijaringkan Ljuba Baranin manakala gol tunggal The Cops diperoleh hasil jaringan Dao Bakary.

Pengendali The Cops Mohd Fauzi Pilus pula meluahkan kekecewaan dengan persembahan anak buahnya yang gagal mengekalkan kelebihan selepas mendahului 1-0.

“Saya sudah mengingatkan pemain, mereka perlu kekal konsisten sepanjang tempoh 90 minit tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Mereka seolah-olah selesa dengan jaringan satu gol dan apabila Kuantan FA berjaya menjaringkan gol penyamaan, semuanya berakhir dengan kekecewaan hingga tiga gol dibolosi dalam tempoh 10 minit.

“Saya kecewa dengan keseluruhan pemain yang gagal menyerap tekanan hingga terlepas tiga mata disebabkan kesilapan sendiri. Bukan saja gagal menambah jaringan, tetapi kami yang dikecewakan di saat akhir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");