Jenayah

2 warga Indonesia ditahan miliki senapang buatan sendiri

KUNAK: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia kerana disyaki memiliki empat laras senapang buatan sendiri dalam operasi di rumah kongsi pekerja Ladang Suntai 2 Sabahan, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak merampas dua laras senapang jenis bakakuk, dua senapang guli, tiga butir peluru serta 31 biji guli.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Nasaruddin M Nasir, berkata susulan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota menyerbu rumah kongsi terbabit yang disyaki menyimpan senjata buatan sendiri sebelum menahan dua suspek berusia 24 dan 28 tahun.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan menemui empat laras senjata buatan sendiri, peluru serta 31 biji guli. Kedua-dua suspek juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Polis turut merampas dua motosikal di rumah kongsi berkenaan yang disyaki dicuri,” katanya di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung tujuan kedua-dua suspek memiliki senjata dan peluru terbabit, selain memeriksa sama ada mereka terbabit dalam kegiatan jenayah lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kunak menahan empat lelaki warga asing berumur 17 hingga 24 disyaki penagih dadah di sebuah rumah di Ladang PJ Sabahan, dekat sini, pada jam 1.30 pagi tadi.

Serbuan dijalankan susulan maklumat ada aktiviti berkaitan dadah di rumah tidak bernombor itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");