Perak Hari Ini

5,000 Dijangka Meriahkan Expo Makanan Perak

IPOH : Pertubuhan Anak Perak (PAP) menjangkakan lebih 5,000 pengunjung bakal memeriahkan Expo Makanan Perak dan Himpunan Produk yang akan diadakan pada 18 Mac ini di perkarangan parkir Terminal Aman Jaya, di sini.

Presiden PAP, Faizal Effendi Hasim @ Faizal Lentin berkata expo berkenaan akan berlangsung selama dua hari dari jam 8 pagi hingga 12 malam dan bakal menampilkan pelbagai aktiviti serta menu-menu makanan yang menarik.

Jelas beliau lagi, initiatif yang dianjurkan oleh PAP dengan mendapat kerjasama daripada Perak Transit dan Terminal Urus Aman Jaya itu dilaksanakan bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017.

“PAP akan memperkenalkan makanan tradisi Perak seperti rendang tok, pekasam, gulai tempoyak, sambal tempoyak masak, dodol, lemang wajik dan pelbagai kuih-muih.

“Barangan lain juga dijual seperti barangan diperbuat dari kulit, pakaian produk kecantikan serta pelbagai produk lain seperti perkhidmatan,”katanya dalam sidang media, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAP, Rokiah Mat Nusi dan penganjur bersama, Othman Omar.

Mengenai pemilihan Terminal Aman Jaya sebagai lokasi program, Faizal berkata, terminal itu merupakan lokasi tumpuan orang ramai terutamanya pelancong selain daripada Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini.

“Setiap bas yang datang dari semua arah luar negeri Perak, persinggahan utamanya adalah Terminal Aman Jaya.

“Jadi, pendekatan yang diambil oleh PAP bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelancong dan pengunjung bahawa dalam negeri Perak ini banyak keistimewaannya.

“PAP juga akan membawa makanan istimewa di kawasan DUN masing-masing,”katanya.

Faizal berkata lagi, selain expo makanan dan barangan, turut diadakan ialah pelbagai aktiviti santai seperti pertandingan karaoke santai, pertandingan mewarna, pertandingan menghias kek serta tayangan wayang pacak dari Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ujarnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi dijangka merasmikan expo berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Faizal turut menafikan sekeras-kerasnya PAP terlibat dalam program Karnival Anak Perak yang diadakan di Gua Tempurung, awal Februari lalu.

“Ini kerana, ramai yang menyatakan PAP sama dengan Karnival Anak Perak sehingga ada yang membuat tuntutan bayaran kepada PAP.

“PAP ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak terlibat dengan program yang dianjurkan oleh pihak Karnival Anak Perak,”tegasnya dalam sidang media, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");