KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi selamat melahirkan cahaya mata sulung perempuan di sebuah hospital swasta, di sini, kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Memetik sumber Berita Harian, Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 27, turut memilih nama Anggerik sebagai pengenalan diri anak pertamanya yang dilahirkan dengan berat 3.2 kilogram itu.
“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan cahaya mata sulung namun memerlukan rehat kerana masih lemah dan sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu. “Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan saya dan bayi.
“Nama Anggrek dipilih kerana saya meminati bunga klasik itu dan sudah lama menyimpan hasrat untuk menamakan anak sulung dengan panggilan ringkas itu,” katanya.
Adira yang juga naib juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bernikah dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.
Berita perkahwinan Adira menjadi tular di internet apabila seorang wanita dikenali sebagai Datin Red memuat naik gambar dan status di laman sosial, Facebook pada 16 Disember tahun yang sama menjelaskan beliau serta penyanyi itu berkongsi suami.